SEREMBAN: Kira-kira 200 pemandu dan pengusaha lori di negeri ini hari turut berhimpun sebagai protes terhadap operasi penguatkuasaan berterusan terhadap mereka termasuk daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kesemua mereka pada mulanya berhimpun di kawasan selepas Plaza Tol Senawang di sini dan kemudiannya mereka ke Pejabat JPJ Negeri Sembilan di Jalan Seremban-Tampin di sini untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.
Antara bantahan dan tuntutan kesemua mereka termasuklah supaya pihak berkuasa turut mengenakan saman kepada pihak kilang dalam isu berat berlebihan, menaikkan had berat dengan muatan (BDM) serta menghapuskan saman dimerit kepada pemandu.
Seorang pemandu lori, Norddin Sidek, 45, berkata, dia meminta supaya pihak JPJ bersikap lebih bertimbang rasa dalam isu tersebut.
“Pemandu lori bukan gaji besar, tetapi jika setiap bulan perlu membayar saman bagaimana mahu menyara keluarga, satu saman sahaja sudah RM350 sampai bila macam ini.
“Saya tidak boleh tahan, hari-hari ada operasi disasarkan kepada kami, lori kosong pun mereka tahan,” katanya kepada pemberita di sini.
Seorang lagi pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Kesavan pula berkata, pelaksanaan pemotongan mata dimerit kepada pemandu juga perlu dikaji semula.
“Pemandu lori tidak faham berkenaan sistem dimerit ini, kami sudah bayar saman tetapi mengapa pula masih potong mata dimerit kami, kita tahu jika mata dimerit ini dipotong lesen kami akan digantung, ibu begitu membebankan kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf telah menerima sendiri memorandum daripada wakil pemandu-pemandu lori tersebut.
Beliau menjelaskan mengambil maklum akan bantahan dan tuntutan yang disampaikan oleh pemandu-pemandu lori itu dan akan membawa perkara tersebut untuk diambil perhatian pihak atasan.
“Segala isu yang dibangkitkan ini adalah melibatkan dasar, saya akan sampaikannya kepada pihak ibu pejabat di Putrajaya hari ini juga.
“Saya percaya perkara ini di dalam pengetahuan pihak atasan dan menjadi isu nasional kerana pemandu-pemandu lori di beberapa buah negeri juga sudah mengadakan tindakan sama beberapa hari kebelakangan ini,” katanya.-UTUSAN.