Pemandu lori buat pusingan U didakwa, mengaku tak bersalah - Utusan Malaysia

Pemandu lori buat pusingan U didakwa, mengaku tak bersalah

NORAZWAN ISMAIL (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar, Selasa lalu.

Walau bagaimanapun, tertuduh, Norazwan Ismail, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memandu lori jenis Daihatsu berwarna putih secara melulu sehingga menyebabkan kematian di Kilometer 13.5, Jalan Batu Pahat-Kluang, Batu Pahat pada pukul 7.04 pagi, 25 Oktober lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukum penjara sehingga 10 tahun dan denda hingga RM50,000 dan lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd. Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Thamarah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain diarah melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai serta menyerahkan pasport miliknya.

Mahkamah kemudian menetapkan  30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu , mangsa, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U.

Mangsa, Shahrunizam Mohd. Shamsul, 17, yang dipercayai dalam perjalanan ke sekolah dari kediamannya di Parit Sulong cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN