Pekerja mahir kejuruteraan, AI diperlukan pelabur asing di Malaysia - Utusan Malaysia

Pekerja mahir kejuruteraan, AI diperlukan pelabur asing di Malaysia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan untuk meningkatkan keupayaan kemahiran tenaga tempatan khususnya dalam  bidang kejuruteraan dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi menampung keperluan permintaan tenaga kerja yang bakal dijana hasil penerimaan pelaburan daripada syarikat-syarikat besar diraih negara ketika ini.

Menurut beliau, dalam perbincangan bersama pelabur-pelabur  seperti dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk; Syarikat automotif China, Geely dan Infineon Technologies AG (Infineon),Malaysia perlu mengembangkan kemahiran tenaga tempatan.

“Soal ekosistem ini benar. Perbincangan kita dengan Elon Musk, Tesla, Geely dan Infinion yang melabur lima bilion euro di Kulim Hi-Tech, semua menyatakan sementara tahap latihan kejuruteraan kita itu memuaskan, tetapi ada yang kurangnya kemahiran yang patut kita berikan perhatian,” kata Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini..

Kata Anwar, keperluan perkara tersebut sudah disampaikan kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor (di universiti) supaya mereka memberi laluan dan tumpuan dalam penerokaan bidang baharu termasuk pengkhususan dalam bidang AI.

“Geely menyebut sementara jurutera kita mencapai  tahap sangat baik, namun kita masih memerlukan tahap kepakaran khusus dalam bidang automotif dan industri.

“Dalam perbincangan,  mereka juga menetapkan bidang-bidang disiplin khusus yang diperlukan supaya dapat dimulakan latihan di universiti tempatan dan mencapai keperluan pekerja mahir,” katanya.

KEBIMBANGAN

Perdana Menteri turut mengakui dalam menerima pelaburan besar tersebut, masih wujud kebimbangan segelintir pihak berhubung soal pelaksanaannya.

Bagaimanapun, beliau sudah menetapkan supaya kerajaan melakukan perubahan mendadak untuk memenuhi keperluan pelabur.

“Bukan sahaja dengan mewujudkan pusat sehenti di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), tetapi Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) di bawah Menteri MITI dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM)…ini akan memastikan projek ini diluluskan dengan kadar segera,” katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal berkenaan hasil lawatan ke luar negara sejak menerajui kerajaan, Anwar berkata, sebanyak 17 lawatan ke luar negara sudah dilaksana termasuk ke negara-negara ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS) serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, hasil lawatan ke China pada Mac lalu menjana nilai potensi pelaburan RM170.07 bilion iaitu pelaburan komited sebanyak RM100.33 bilion hasil sesi meja bulat dengan pemimpin industri dan ketua perniagaan China, serta RM69.74 bilion lagi daripada 19 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan China.

Beliau turut menjelaskan, lawatan ke AS pula berjaya membawa pelaburan berpotensi RM4.74 billion.

“Ini termasuklah pelaburan daripada Geely dan susulan daripada itu, saya akan ke Tanjong Malim pada esok hari sebagai usaha kerajaan dalam meyakinkan pelaburan pembangunan Automotive High Tech Valley dapat direalisasikan,” katanya.

Bagi lawatan ke UAE, Anwar berkata, negara menjana pelaburan komited berjumlah RM40.6 bilion membabitkan sektor-sektor tenaga boleh baharu, logistik dan aeroangkasa.

“Pelaburan terbesar daripada MASDAR iaitu pembangunan projek tenaga boleh baharu di Malaysia dengan kapasiti sehingga 10 gigawatt (GW) bernilai RM37.8 bilion.

“Selain itu, pelaburan komited berjumlah RM2.1 bilion dalam sektor logistik dan RM709.1 juta sektor aeroangkasa,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya