Peguam kekal bebas 9 tuduhan pengubahan wang haram - Utusan Malaysia

Peguam kekal bebas 9 tuduhan pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang peguam kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada sembilan pertuduhan menerima dan menggunakan dana RM6.5 juta yang didakwa diperoleh daripada aktiviti haram, enam tahun lalu.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan M. Pathmarajah, 67, tanpa memanggilnya membela diri.

Dalam penghakimannya, Hakim Muniandy berpuas hati dengan hakim bicara bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap peguam itu.

“Mahkamah ini mendapati perintah hakim Mahkamah Sesyen membebaskan tertuduh adalah betul. Saya dapati mahkamah ini tiada sebab untuk mengubah atau mengganggu keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen. Oleh itu rayuan (pendakwaan) ditolak,” kata beliau.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni manakala responden diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 November 2022, yang melepas dan membebaskan Pathmarajah daripada pertuduhan pengubahan wang haram pada akhir kes pendakwaan.

Seramai 24 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pada 7 April 2021, Pathmarajah, rakan kongsi firma guaman Tetuan Mazwan Pathma & Co, didakwa atas tiga pertuduhan menerima RM3,735,200, RM640,070 dan RM2,161,330 hasil aktiviti haram, melalui empat keping cek ke dalam dua akaun semasa firma guaman itu.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu, atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya