MERSING: Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 13, Jalan Kota Tinggi-Mersing malam tadi.
Mangsa, Mohd. Sufyan Fahmi Abdul Rashid, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat cedera parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pihaknya menerima laporan tentang kemalangan yang melibatkan sebuah lori jenis Volvo, Perodua Myvi dan Nissan Teana itu pada pukul 11 malam.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Volvo yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun dari arah Mersing hilang kawalan dan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
“Lori tersebut telah melanggar Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun dan pada masa yang sama pemandu lori turut melanggar sebuah Nissan Teana yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan. Kemalangan berkenaan telah menyebabkan pemandu Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemandu lori pula mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan masih menerima rawatan di Hospital Mersing.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dengan sebuah jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengeluarkan pemandu Perodua Myvi yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat pada pukul 11.46 malam. – UTUSAN