Patuhi peraturan termasuk tempoh kempen PRK Pelangai - Yahaya - Utusan Malaysia

Patuhi peraturan termasuk tempoh kempen PRK Pelangai – Yahaya

YAHAYA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Polis mengingatkan semua parti dan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tempoh berkempen pada hari terakhir ini sehingga pukul 11.59 malam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman menegaskan, setakat ini keadaan berjalan lancar dan anggota penugasan sudah diatur serta bersiap sedia pada fasa ketiga iaitu pengundian esok.

“Saya nasihatkan pada malam ini patuhi tempoh kempen ditetapkan dan ikut peraturan ditetapkan serta datang awal pada hari mengundi esok dan tidak melakukan sebarang provokasi,” katanya di sini hari ini.

Kerusi N36 DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

PRK DUN Pelangai yang ditetapkan tarikh pengundian esok akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam; Kasim Samat dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Menurut Yahaya, sehingga kini perjalanan kempen berjalan lancar dengan polis hanya menerima laporan tentang masalah dalaman sahaja.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mendakwa gabungan itu menerima pelbagai ugutan daripada pihak berkuasa, beliau menegaskan ia tidak benar dan polis hanya menjalankan tugas.

Katanya, anggota polis dengan jumlah yang sama dihantar bagi memantau dan mengawal program yang diadakan sama ada oleh BN atau PN sepanjang tempoh PRK Pelangai.

Ujarnya, polis tidak pernah menghalang orang ramai hadir dalam program dianjurkan oleh mana-mana pihak dan ia terserah kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya