Pastikan projek pembangunan tak sebabkan banjir kilat - Utusan Malaysia

Pastikan projek pembangunan tak sebabkan banjir kilat

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR mencuba memandu kereta elektrik Hyundai Ioniq pada Majlis Penyerahan Kereta Elektrik (EV) kepada MBIP di Ibu pejabat MBIP, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan memastikan projek pembangunan yang akan atau sedang dilaksanakan tidak menjadi faktor penyumbang berlakunya banjir kilat.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memastikan segala infrastruktur di kawasan terbabit seperti saliran longkang tidak terjejas.

“Isu banjir kilat ini tidak akan pernah habis kerana projek pembangunan akan terus berlaku. Oleh itu, kita perlu melakukan langkah proaktif bagi mengurangkan kesannya.

“PBT perlu berterusan memastikan infrastruktur di kawasan terlibat diselenggara dengan baik dengan melakukan kerja pembersihan sungai dan longkang serta menarik taraf parit,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan EV kepada MBIP daripada Sime Darby Rent-a-car Sdn. Bhd. di Bangunan MBIP, di sini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Ketua Whip MBIP, Datuk Abd. Rashid Kasman. 

Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri memandang serius usaha menyelesaikan isu tersebut yang kerap berlaku terutamanya pada musim tengkujuh.

Katanya, kerajaan turut menambah peruntukan kepada RM78 juta pada tahun ini berbanding RM60 juta tahun lalu bagi menambah baik infrastruktur untuk menangani isu banjir kilat. 

“Dalam mesyuarat tindakan khas di peringkat PBT yang dipimpin Datuk Bandar Iskandar Puteri, kita telah mengesan 100 hotspot banjir, Johor Bahru dan Kluang mencatatkan jumlah tertinggi.

“Oleh itu, setiap PBT sudah bersedia untuk mengambil tindakan susulan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah persediaan bagi menghadapi musim monsun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya