Pas sudah ada senarai nama calon PRK Kemaman

Pas sudah ada senarai nama calon PRK Kemaman

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Pas sudah mempunyai senarai nama calon yang dianggap sesuai untuk bertanding pada Parlimen Kemaman selepas ia diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti tersebut akan mengutamakan calon dalam kalangan orang tempatan untuk bertanding sekali gus mempertahankan kerusi tersebut.

“Bekas Ahli Parlimen yang lepas (Che Alias Hamid) pun masih ada dan diterima baik oleh rakyat. Bagaimanapun, mesyuarat berkenaan perkara ini belum diadakan kerana masih terlalu awal.

“Lagipun kerusi Parlimen Kemaman baru sahaja diisytiharkan kosong. Tarikh PRK Kemaman belum diputuskan kerana SPR perlu bermesyuarat terlebih dahulu. Pas sebagai sebuah parti politik pastinya tidak boleh mendahului badan yang mempunyai kuasa penuh bagi menetapkan perjalanan pilihan raya di negara ini ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bangunan B Rohm Wako Elektonics (Malaysia) Sdn. Bhd. di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Mohd. Amar memberitahu, beliau berharap pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat pembangunan dapat memanfaatkan empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Kita harap pengalaman dan hubungan baik beliau (Dr. Mahathir) dengan negara luar serta pihak-pihak yang dapat membantu akan meningkatkan pembangunan ekonomi di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan peranan beliau. Kita masih di peringkat awal dan perlu perbincangan lanjut kerana kita mahu melihat keperluan sebenar di setiap negeri berkenaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN