KUALA LUMPUR: Kerajaan memberitahu proses pembatalan atau pengguguran keahlian wakil daripada Sabah dan Sarawak sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) masih belum dimuktamad.
Ini seperti yang diperuntukkan di dalam Fasal 4 Rang Undang-Undang (RUU) LHDN (Pindaan) 2023, Seksyen 9 Akta 533, bahawa menteri boleh pada bila-bila masa, tanpa memberi sebab, membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 6(1)(da).
Perkara itu hanya boleh dilakukan selepas menteri berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bagi membatalkan pelantikan seseorang ahli yang dilantik.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan dibincang lebih lanjut dalam jawatankuasa bagi menimbang RUU berkenaan.
“Untuk makluman, fasal 4 ini akan dibincang lebih lanjut berhubung proses pembatalan pelantikan seseorang wakil negeri Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa,” katanya semasa membentang RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan RUU itu bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas majoriti suara ahli Parlimen bersetuju untuk meminda beberapa fasal dalamnya.
Pelantikan wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak bagi memastikan isu percukaian dapat ditangani dan disampaikan dengan sewajarnya selain menggalakkan urusan percukaian objektif dan bebas.
RUU itu sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat pada Jun lalu, namun ditangguh ke persidangan akan datang (hari ini) selepas ahli-ahli Parlimen mencadang RUU itu dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi.
Ia bertujuan meminda beberapa peruntukan, antaranya bagi mengelakkan bias dalam pemilihan dan pengguguran atau pembatalan keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak, yang mana seseorang menteri berkuasa penuh ke atasnya (sebelum kajian jawatankuasa).
Dalam peruntukan RUU yang baharu, menteri perlu berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bagi membatalkan pelantikan seseorang anggota yang dilantik.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Belud dari Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis berhujah, sekalipun wakil-wakil Sabah dan Sarawak berada di dalam lembaga pengarah LHDN, ia tidak akan dapat melindungi keistimewaannya kerana pelantikan itu boleh ditarik semula.
Beliau mempersoal jika ahli lembaga pengarah mewakili Sabah dan Sarawak berisiko dipecat sekiranya mendedahkan maklumat menyentuh kepentingan negeri atau tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.
“Adakah wakilnya boleh dipecat dan dibatal oleh menteri? Apakah peranan ahli lembaga pengarah dari Sabah ini? Apakah statusnya sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain atau lebih tinggi?
“Siapa pula yang akan cadangkan wakil dari Sabah dan Sarawak dalam LHDN? Adakah perlu diikuti (keputusan) sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan?,” soalnya.-UTUSAN.