(PARLIMEN) 25 penjawat awam terlibat isu ketirisan

(PARLIMEN) 25 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib terlibat isu ketirisan wang awam

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 25 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam isu ketirisan wang awam.

Ini berdasarkan siasatan yang dijalankan sehingga kini membabitkan isu yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020 dan 2021.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, setakat ini, seorang penjawat awam didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.

DISELESAIKAN

Katanya, sebanyak 12 isu berjaya diselesaikan membabitkan kelemahan pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program projek, kelemahan pengurusan wang dan ketidakpatuhan terhadap peraturan.

“Tujuh LKAN dibentangkan membabitkan pengauditan peringkat Persekutuan dan negeri sepanjang tempoh 2020 hingga 2021. 

“Sebanyak 24 isu membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan pada peringkat Persekutuan serta negeri sudah diaudit dalam tujuh LKAN itu yang dikategorikan sebagai isu punitif.

“Isu ini membabitkan ketirisan kehilangan wang awam dan pembaziran yang serius sama ada selesai diambil tindakan atau masih dalam tindakan siasatan lanjut oleh agensi penguat kuasa atau agensi pusat berkenaan.

“Sebanyak 12 isu selesai disiasat setakat ini, membabitkan dua isu disiasat SPRM dan 10 isu membabitkan jawatankuasa khas siasatan dan jawatankuasa siasatan dalaman diselaraskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Selain itu, 12 isu lagi masih dalam siasatan membabitkan lima isu oleh SPRM, enam isu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu isu oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Kah Woh [PH-Taiping] yang mahu penjelasan berkenaan tindakan dalam menangani isu dibangkitkan dalam LKAN 2020 dan 2021 berhubung ketirisan kehilangan wang awam serta pembaziran yang serius.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai AntiRasuah (JKKMAR) pada 26 Julai lalu memutuskan supaya laporan LKAN dibentang secara berkala kepada Jemaah Menteri dengan format pelaporan baharu, lebih berstruktur dan terperinci.

“Ini bertujuan sebagai langkah ke hadapan bagi membendung ketirisan wang awam. Format baharu ini diperkenal supaya setiap isu dilapor dapat diambil tindakan lebih berkesan oleh setiap menteri atau agensi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya