BUKIT JALIL: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah mengenal pasti 44 sekolah pendidikan khas untuk program pencarian bakat baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program itu sebagai langkah memperkasakan ekosistem sukan para untuk mempunyai pelapis terutama dari peringkat akar umbi dalam kalangan murid orang kurang upaya (OKU).
Katanya, buat masa ini MPM bekerjasama dengan ISN melakukan pencarian bakat dalam kalangan kanak-kanak kerana menyedari mereka berdepan kesukaran menentukan jenis kecacatan atlet dengan sukan yang sesuai disertai.
Menurutnya, terdapat beberapa jenis sukan akan diberi tumpuan antaranya olahraga, boccia, renang dan berbasikal.
Dengan adanya pencarian bakat secara formal ini, Hannah berharap ibu bapa yang mempunyai anak-anak pemegang kad OKU dapat melibatkan diri bagi memastikan kelangsungan sukan para.
“Ada atlet yang sudah bersara, jadi pencarian bakat (untuk menggantikan kekosongan itu) agak kecil. Sebab itu kita buat banyak promosi untuk memastikan kanak-kanak dan pemegang kad OKU menjalani pencarian bakat.
“Pencarian bakat ini juga melibatkan ISN di mana mereka yang akan menentukan kategori atlet itu dan sukan apa yang sesuai mereka sertai,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada Pemenang Sukan Para Asia di Majlis Sukan Negara, semalam.
Dalam perkembangan sama, Presiden MPM, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan bagi melaksanakan Sekolah Sukan Pendidikan Khas di Sepang pada 2025.
“Setakat ini di sekolah ada sukan olahraga dan kita juga mulakan dengan sukan lain seperti boccia, renang selain sukan olahraga.
“Dengan kerjasama antara MPM dan Majlis Kebangsaan OKU, kita telah dapat kerjasama dengan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk mewujudkan sekolah sukan pendidikan khas di Sepang 2025. Ini satu inisiatif dari MPM,” katanya. – UTUSAN