JOHOR BAHRU: Seorang lelaki sanggup memakai tudung, kasut wanita dan kuku kaki diinai bagi mengaburi orang ramai untuk masuk ke tandas wanita bagi melakukan ‘skodeng’.
Namun, lelaki berusia 23 tahun yang turut mengaku sudah berkahwin itu ‘kantoi’ apabila dia ditahan orang awam semasa sedang mengintai di sebuah pasar raya di Masai, Pasir Gudang semalam.
Berdasarkan rakaman video berdurasi dua minit 11 saat yang tular berkenaan, suspek memaklumkan tidak tahu mengapa dia berbuat demikian kerana tidak dapat berfikir secara rasional ketika itu.
Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, suspek diserahkan orang ramai kepada polis selepas ditahan pada pukul 11 pagi semalam.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohd. Sohaimi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang melanggar norma kehidupan dan undang-undang negara. – UTUSAN