KUANTAN: Sebanyak 900 metrik tan beras putih tempatan (BPT) diterima dan diagihkan kepada lima syarikat pembekal dilantik di Pahang untuk diedarkan kepada peruncit serta peniaga di seluruh negeri ini.
Syarikat terbabit dua di Kuantan manakala masing-masing satu di Jengka, Maran dan Triang, Bera dekat sini di bawah Program Panel Pemborong Beras Putih Tempatan.
Setiap syarikat terbabit menerima bekalan sama rata antara 100 hingga 200 metrik tan BPT kali ini.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Pahang, Hamizan Musa berkata, jumlah 900 metrik tan itu dianggarkan membabitkan lebih 8,000 paket beras yang akan dijual pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram.
“Melalui bekalan BPT yang diterima kali ini, ia diharap dapat mengatasi masalah kekurangan beras jenis itu dalam pasaran tempatan.
“Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, sekurang-kurangnya langkah ini dapat memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran,” katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Beras Putih Tempatan ke Pasaran oleh salah syarikat pembekal, Mumtaz Iman Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di sini hari ini.
Hamizan berkata, bekalan BPT akan diterima setiap bulan bergantung kepada musim tuaian di negeri-negeri pengeluar beras di seluruh negara yang lain seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak.
“Cuma jumlahnya selepas ini akan berbeza, mungkin antara 100 ke 150 metrik tan sebulan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna agar membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik yang menjadi antara punca gangguan bekalan bahan makan utama itu di pasaran.
“Beras itu ada, yang menjadi masalah apabila berlaku pembelian panik.
“Kalau kita perlu (guna) sekampit, beli sekampit saja dan jangan bimbang kerana bekalan ada,” katanya. – UTUSAN