Padah guna gelaran palsu, penganggur dijel dua tahun - Utusan Malaysia

Padah guna gelaran palsu, penganggur dijel dua tahun

IMRAN TOLOT mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan menggunakan gelaran palsu Dato' Sri di Bandar Penawar lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang penganggur dipenjara dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran palsu Dato’ Sri di Bandar Penawar lima tahun laku.

Tertuduh, Imran Tolot, 50,  membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan kertas  pertuduhan, bapa kepada tiga orang anak itu menggunakan gelaran Dato’ Sri Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang tanpa menerima sebarang anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran tersebut bagi maksud perniagaan tanpa kebenaran bertulis daripada Kebawah DYMM Sultan Pahang, kira-kira pukul 11 pagi di Hotel Amansari Bandar Penawar, 19 April 2018.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran Atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 (Enakmen 18) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama yang dibaca bersama Seksyen 17 akta kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Imran memohon mahkamah supaya memberikan hukuman minimum berikutan mempunyai tiga anak yang bersekolah selain menghidap penyakit kronik, iaitu kencing manis dan urat saraf yang boleh menyebabkan lumpuh serta memaklumkan tidak mempunyai duit kerana tidak bekerja dan meminta tidak dikenakan hukuman denda, sebaliknya hanya hukuman penjara minimum. 

Sementara itu, Muhammad Irsyad berkata, kesalahan dilakukan tertuduh menyalahgunakan gelaran palsu itu telah mencemarkan nama Institusi Kesultanan Pahang dan jika tidak dicegah kesalahan sama boleh diulang orang lain.

Hayda Faridzal kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Nik Azaham Nik Aziz berkata, Imran  ditahan pada 4 Oktober lalu selepas dipercayai terlibat dalam menawarkan kontrak membekalkan makanan di Projek Rapid Petronas Pengerang yang tidak wujud.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek bergiat aktif di negeri Johor dengan menawarkan tender kontrak membekalkan makanan untuk Projek Rapid Petronas Pengerang pada tahun 2018 hingga 2019. Mangsa dikehendaki membuat bayaran berjumlah RM100,000 bagi mendapatkan kontrak membekalkan makanan tersebut. Semasa memperdayakan mangsa, suspek telah memperkenalkan dirinya sebagai Dato Sri bagi meyakinkan mereka bahawa kontrak makanan tersebut boleh memberi pulangan yang lumayan.

“Pihak Polis telah merampas satu kad ahli Setia Diraja Pahang atas nama suspek, sebuah telefon bimbit dan beberapa dokumen semasa tangkapan dijalankan. Hasil semakan mendapati suspek tidak dikurniakan gelaran Dato Sri oleh mana-mana institusi diraja,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada sebelum menerima apa-apa tawaran perniagaan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat sebarang pengesahan tentang sesuatu gelaran atau anugerah menerusi laman sesawang www.istiadat.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN