OKU, kembar seiras antara pelajar baharu USIM - Utusan Malaysia

OKU, kembar seiras antara pelajar baharu USIM

SHARIFUDIN Md. Shaarani (kanan) bertemu dengan Muhammad Amirul Hakimi pada Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Minggu Taaruf Pelajar Baharu Sarjana Muda di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) dan sepasang kembar seiras antara 2,400 orang pelajar baharu yang mendaftar bagi pengambilan Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini. 

Pelajar OKU tersebut, Muhammad Amirul Hakimi Muliyadi, 19, yang berasal dari Labuan, mendaftar sebagai pelajar jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat.

Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu memberitahu, dia memakai kaki palsu akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya pada bulan Februari lalu. 

“Saya mengalami kemalangan sehingga menyebabkan kecacatan di bahagian kaki kanan dan tangan kanan saya juga mengalami masalah lemah. Saya perlu menjalani fisioterapi tangan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) pada setiap bulan. 

“Saya tidak menganggap kecacatan kaki sebagai penghalang. Lebih-lebih lagi USIM menyediakan fasiliti terbaik bagi penuntut OKU seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam.

Hadir merasmikan majlis tersebut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diiringi oleh Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Datuk Dr. Sharifudin Md. Shaarani. 

Menurut Muhammad, dia bercita-cita mahu menjadi seorang pegawai bank dan berharap dapat menyesuaikan diri dan diterima baik oleh rakan-rakan pelajar yang lain.

Dalam pada itu, pasangan kembar seiras, Siti Maisarah Mohamad, 19, dan Siti Umairah Mohamad, 19, juga bersama-sama mendaftar sebagai pelajar di USIM malah lebih menarik, mereka  juga melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama iaitu Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa.

“Kami memasuki jurusan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa di USIM kerana amat meminati bidang ini. Kami akan tinggal sebilik dan juga berada dalam kelas yang sama. 

“Saya dan adik memang tidak pernah berenggang bagaimanapun sejak kecil kami mempunyai cita-cita yang berlainan, saya mahu menjadi polis manakala Siti Umairah mahu menjadi peguam,” katanya.

PASANGAN kembar Siti Maisarah Mohamad, 19, dan Siti Umairah Mohamad, 19, ketika ditemui pada Majlis Lonjakan Kuantum dan Lafaz Ikrar sempena Minggu Taaruf Pelajar Baharu Sarjana Muda di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya memberitahu, kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu anak-anak dari negeri untuk melanjutkan pengajian.

Jelas beliau, ia sebagai motivasi dan semangat untuk pelajar-pelajar berkenaan untuk terus menimba ilmu. 

“Antaranya, kerajaan negeri telah menyediakan Bantuan Kewangan IPT Negeri Sembilan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian.

“Bagi meraikan kecemerlangan anak-anak Negeri Sembilan, kerajaan negeri juga menyediakan Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama kepada mahasiswa Negeri Sembilan yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama sebagai galakan kepada mereka untuk menempa kejayaan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya