KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 menjadi contoh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi meningkatkan kualiti pembangunan sumber manusia di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia dibuktikan apabila lebih 20 perjanjian persefahaman (MoU) antara pelbagai pemain industri akan ditandatangani sepanjang berlangsungnya NHCCE 2023.
Katanya, usaha HRD Corp selaku penganjur berjaya memudahkan kolaborasi antara pelbagai syarikat dan organisasi.
“Saya berharap ia akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai majikan, pekerja dan akhirnya, negara.
“Penglibatan berterusan ini akan membimbing kami ke arah memperkenalkan lebih banyak inisiatif yang memberi pulangan kepada pemegang taruh, seperti NHCCE 2023,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran NHCCE 2023 di ibu negara hari ini.
Untuk itu, katanya, pihak kementerian sedang giat bekerjasama dengan pemain industri untuk memupuk ekosistem pembangunan modal insan tempatan bagi menyokong usaha ini.
“Langkah-langkah ini penting untuk memacu aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Untuk mencapai matlamat yang bercita-cita tinggi ini, negara tidak mampu kehilangan kumpulan tenaga mahir kerana kekurangan prospek kerjaya yang baik atau ekosistem pembangunan modal insan yang ketinggalan.
“Dengan berganding bahu, kita boleh melakukan lebih banyak lagi untuk pembangunan negara tercinta. Itulah sebabnya saya yakin inisiatif seperti NHCCE 2023 akan menjadi titik perubahan dalam memartabatkan pembangunan modal insan Malaysia,” katanya.
Justeru, beliau memberi komitmen sepenuhnya kepada sebarang inisiatif yang akan memanfaatkan pembangunan modal insan negara.
“Ini kerana kami percaya ekosistem sumber manusia tempatan yang kukuh dan dinamik adalah tunjang kepada kemakmuran negara.
“Saya berharap NHCCE 2023 akan menjadi pemangkin kepada HRD Corp bagi menambah baik landskap pembangunan modal insan Malaysia,” katanya.
Berlangsung dari 30 hingga 31 Oktober 2023 di MITEC, Kuala Lumpur, NHCCE 2023 merupakan kesinambungan kejayaan NHCCE 2022, yang menerima sambutan luar biasa daripada delegasi dari rantau Asia Tenggara.
Dengan tema baharu, ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’, NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi dan para pengamal sumber manusia berada di hadapan tuntutan yang sentiasa berubah dalam tempat kerja moden.
NHCCE 2023 juga diadakan sempena ulang tahun HRD Corp ke-30 yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong majikan dan pekerja Malaysia untuk mendapatkan akses kepada program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang berkualiti tinggi. – UTUSAN