N. Sembilan usaha dapatkan salinan penulisan, dokumen berkaitan Pendeta Za'ba - Utusan Malaysia

N. Sembilan usaha dapatkan salinan penulisan, dokumen berkaitan Pendeta Za’ba

MOHD. Faizal Ramli (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang menjadi salah seorang ahli panel Forum Keilmuan Ketokohan Za'ba di Teratak Za'ba, Batu Kikir, Jempol hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kerajaan Negeri Sembilan akan menjalinkan kerjasama dengan pihak Arkib Negara Malaysia bagi memperoleh salinan-salinan penulisan dan dokumen berkaitan tokoh ilmuan dari negeri ini iaitu Allahyarham Tan Sri Dr. Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Za’ba.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd. Faizal Ramli berkata, salinan dokumen dan buku tersebut kemudian akan diletakkan di Teratak Za’ba di sini untuk dijadikan sumber rujukan khususnya kepada generasi muda.

“Saya ada menerima jemputan dan melawat ke Arkib Negara Malaysia baru-baru ini untuk melihat koleksi dan dokumen yang dikekal dan dipulihara di situ, banyak juga dokumen dan penulisan berkenaan Pendeta Za’ba termasuk satu buku tebal hasil tulisan Pendeta Za’ba.

“Sebenarnya, apabila Pendeta Za’ba ini berasal dari Jempol, Negeri Sembilan, ia memberi kelebihan apabila kita dapat berurusan dengan pihak Arkib Negara untuk dapatkan salinan untuk dijadikan rujukan ketika orang ramai datang ke Teratak Za’ba ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Forum Keilmuan Ketokohan Za’ba di Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir di sini.

Ditanya perancangan kerajan negeri berkaitan Teratak Za’ba yang telah dirasmikan pada 2011 itu, Mohd. Faizal memberitahu kawasan tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

“Apa yang kurang akan ditambah baik dan ia mesti mendapat maklumat daripada pihak pengurusan dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan namun bagi saya soal warisan ini perlu selari dengan teknologi hari ini termasuk dalam aspek pendigitalan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kerjasama di antara kerajaan negeri dan Arkib Negara Malaysia itu bukan hanya terbatas mengenai Pendeta Za’ba sahaja malah kelak turut akan melibatkan perkara yang lain.

“Kerjasama bersama Arkib Negara Malaysia ini memang akan kita teruskan apatah lagi mereka juga belum ada cawangan di Negeri Sembilan.

“Perkara ini yang kami akan bantu usahakan, supaya dapat diwujudkan satu cawangan Arkib Negara Malaysia di Negeri Sembilan. Mungkin di sekitar Seremban, ia bukan hanya soal sejarah sahaja tetapi berkaitan dokumentasi dan kerajaan, kita akan lihat di mana yang sesuai,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya