SHAH ALAM: Pengagihan kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) perlu ditambahbaik kerana perkara tersebut paling penting setiap kali menjelang pilihan raya, membabitkan parti komponen dalam gabungan tersebut.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya tidak menghadapi masalah dalam proses untuk meletakkan calon di mana-mana yang mahu kerusi ditandingi pihaknya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Pas yang menjadi satu daripada parti komponen dalam PN perlu membina muafakat politik dengan mengadakan perundingan membabitkan kerusi-kerusi yang ingin ditandingi.
“Ada kerusi kita nak kadang-kadang tak dapat, ada yang kita tak sangka tiba-tiba dapat. Paling pelik yang tak dapat… menang, yang dapat… tak menang.
“Sebenarnya kita bekerja sebagai satu pasukan, kita perkukuhkan muafakat politik dalam PN maka dengan itu di peringkat kawasan perlu diperkukuh dan diperkasakan agenda ini,” katanya pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas kali ke-69, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas perlu memperbanyakkan lagi cawangan-cawangannya di seluruh negara untuk mengukuhkan kekuatan parti di peringkat akar umbi.
KOMPONEN
Katanya, gerak kerja parti di peringkat akar umbi adalah asas untuk perundingan kerusi di antara komponen PN.
“Seperti dijelaskan Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kita perlu perbanyakkan cawangan… gerak kerja parti, sebab ini asas apabila kita nak pilih untuk dapat kerusi. Kekuatan itu antara syarat yang perlu ada,” katanya.
Pada masa sama, Tuan Ibrahim mengakui bahawa ada gelombang dalam kalangan rakyat untuk membuat perubahan dalam tampuk kepimpinan negara di beberapa negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Bagaimanapun, katanya, gelombang perubahan itu tidak disambut jentera partinya kerana kurang bersedia.
“Apabila semak berapa cawangan yang kita ada di tempat hendak bertanding, berapa jumlah peti undi yang ada, nisbah dengan cawangan dan ahli kita, sebab itu saya ambil kesempatan ini untuk negeri-negeri ada pilihan raya berasingan Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Maka apa yang kita ada akan diperkuatkan dan diperkasakan. Kita yakin, kita punya potensi besar untuk tawan Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan di masa depan,” katanya. – UTUSAN