SEREMBAN: Pelajar Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, 17, menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara 110 meter lari berpagar lelaki bawah 18 tahun pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 petang tadi.
Pada acara yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, di sini itu, Muhammad Hazriq yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Malaysia (Sukma) 2022, berjaya mencatatkan masa 13.51 saat.
Dia meninggalkan pelari dari Perak, Emad Muhaimin Norhasrin di tempat kedua dengan catatan masa 14.15 saat manakala pingat gangsa diraih pelari Sarawak, Stevensie Win Anak Simon dengan masa 14.28 saat.
Muhammad Hazriq berkata, dia berbangga dengan keputusan tersebut meskipun catatan masanya sewaktu perlumbaan akhir tidak dapat mengatasi catatan masanya di peringkat separuh akhir iaitu 13.46 yang telah berjaya memecahkan rekod kejohanan dan rekod kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean (ASG).
“Alhamdulillah, perlumbaan tadi jadi milik saya, peserta lain juga berikan saingan yang baik dan mereka juga memberikan semangat kepada saya tadi.
“Di peringkat separuh akhir saya dapat buat rekod iaitu 13.46 saat, Alhamdulillah masa sewaktu final pun agak baik dan saya dapat kekalkan masa di bawah 13.5 saat.
“Memang tidak sangka dapat pecahkan rekod ASG juga, ini berkat usaha gigih dan bantuan jurulatih-jurulatih yang telah buat program latihan untuk saya, tidak sangka saya dapat kekal dengan masa ini,” katanya lagi.
Sementara itu, acara 100 meter lari berpagar perempuan bawah 18 tahun pula menjadi milik pelari Kelantan, Fatin Nashira Mohd. Fadzil, 17.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera, Kota Bharu itu meraih pingat emas dengan catatan masa 15.21 saat.
“Memang saya berpuas hati dengan kemenangan ini namun masa hari ini bukanlah catatan masa peribadi terbaik saya iaitu 14.6 saat. Ada sedikit gangguan sewaktu permulaan perlumbaan namun Alhamdulillah saya dapat kekalkan tempo larian dan akhirnya menang emas,” katanya.
Pingat perak pula menjadi milik pelari Selangor, Dhanea Marsyella Eehsan Faez Sivam dengan masa 15.25 saat manakala pingat gangsa diperoleh pelari Sabah, Alya Amyra Hanis Hamrin menerusi catatan masa 15.46 saat.
Bagi acara 110 meter lari berpagar lelaki bawah 15 tahun pula menyaksikan pelari Kedah, Ismandar Hakimi Ismail meraih pingat emas dengan catatan masa 14.18 saat diikuti pingat perak menjadi milik atlet Selangor, Luke Piri Agong dengan masa 14.53 saat manakala pelari Sarawak, Alexander Barin Anak Empenie meraih pingat gangsa.
Pelari Perak, Farah Syakira Azifsafarin pula meraih emas bagi acara 100 meter lari berpagar perempuan bawah 15 tahun dengan masa 14.75 saat dan mengenepikan dua pelari Sabah iaitu Cassandra Joanna Patrick dan Abernetha Elissa Tadius untuk pingat perak dan gangsa.-UTUSAN.