MSSM: Izzatul Musfirah muncul ratu balapan, pecah rekod 200 meter - Utusan Malaysia

MSSM: Izzatul Musfirah muncul ratu balapan, pecah rekod 200 meter

IZZATUL Musfirah Ahmad Kamal Azira meraikan kejayaannya memenangi emas acara 200 meter perempuan bawah 15 tahun dengan rekod baharu kejohanan pada Kejohanan Olahraga MSSM Kali Ke-63 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, petang tadi.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jaguh pecut remaja dari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, 15, boleh dianggap sebagai ratu acara balapan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-63 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, petang tadi.

Ia selepas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, Terengganu itu meraih emas keempatnya dalam kejohanan ini menerusi acara 200 meter perempuan bawah 15 tahun.

Lebih manis, catatan masa yang dilakukannya iaitu 24.66 saat berjaya memecahkan rekod kejohanan yang dilakukannya sendiri dalam saringan separuh akhir yang berlangsung di sebelah pagi iaitu 24.94 saat.

“Alhamdulillah saya begitu gembira dan berbangga apabila memenangi emas acara 200 meter ini malah turut memecahkan rekod kejohanan sebanyak dua kali bagi acara ini hari ini (semalam).

“Saya bersyukur, kejayaan ini hasil usaha keras dan berterusan. Saya sasarkan lima emas sebenarnya dan hari ini sudah empat emas, esok saya akan sertai pula acara 4×400 meter, insyaAllah saya harap ada rezeki nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Sebagai rekod, catatan masa 24.66 saat yang dilakukan Izzatul Musfirah itu juga sebenarnya telah mengatasi rekod MSSM acara 200 meter perempuan bagi usia bawah 18 tahun yang telah dilakukan oleh Sheeren Samson Vellabouy pada 2015 iaitu 24.89 saat. 

Terdahulu di sebelah pagi, Izzatul Musfirah juga meraih emas bagi acara 200 meter lari berpagar perempuan bawah 15 tahun di mana dia mencatatkan masa 27.43 saat yang juga rekod baharu kejohanan.

Sebelum ini, dia berjaya meraih emas acara 100 meter perempuan bawah 15 tahun dan membantu kuartet 4×100 meter perempuan bawah 15 tahun Terengganu memenangi emas kelmarin.

Sementara itu, bagi acara 200 meter lelaki bawah 18 tahun, pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan, 16, meraih emas dengan catatan masa 21.74 saat.

Dia menewaskan pemenang acara 100 meter sebelum ini, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, 16, dari Johor yang meraih pingat Perak dengan masa 21.93 saat manakala pelari Selangor, Danish Irfan Tamrin mendapat pingat gangsa dengan masa yang dicatatkan, 21.97 saat.

Bagi acara 200 meter perempuan bawah 18 tahun pula, Nur Izzati Eliana Suhaidi menepati ramalan apabila meraih emas dengan masa 25.28 saat mengatasi Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak untuk pingat Perak manakala Anis Batrisyah Noriezad dari Johor memperoleh pingat gangsa.

Ia pingat emas kedua Nur Izzati Eliana pada kejohanan ini selepas dia juga meraih emas bagi acara 100 meter perempuan bawah 18 tahun pada hari Ahad lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya