Mengaku bersalah samun remaja dalam lif - Utusan Malaysia

Mengaku bersalah samun remaja dalam lif

MOHAMAD HIDAYAT mengaku bersalah atas tuduhan menyamun seorang remaja lelaki di dalam lif sebuah pangsapuri di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyamun seorang remaja lelaki di dalam lif sebuah pangsapuri di bandar raya ini, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Hidayat Daim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Fatimah Zahari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad Hidayat didakwa menyamun sebuah telefon bimbit jenis Vivo YISA warna biru gelap milik seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada pukul 3.18 petang di dalam lif di sebuah Pangsapuri Desa Jaya, Johor Bahru pada 15 Oktober lalu. 

Dia didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan fakta kes serta jatuh hukum.

Rabu lalu, media melaporkan mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis bahawa dia disamun seorang lelaki pada 15 Oktober lalu.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek yang positif dadah jenis morfin mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah. 

Rakaman video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila disamun seorang individu bertopi keledar ketika di dalam sebuah lif kediaman pangsapuri di sini tular dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN