PETALING JAYA: Rakyat menaruh harapan tinggi kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada mekanisme kawalan harga barang keperluan asas yang lebih berkesan dalam Belanjawan 2024 Jumaat ini bagi meringankan beban mereka yang kini terbeban dengan kenaikan harga yang berterusan.
Kata mereka, selain beras yang menjadi bahan makanan terbaharu yang mengalami kenaikan, rakyat juga sudah lama berdepan dengan kenaikan harga bahan makanan lain seperti ayam, telur dan ikan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pekerja swasta dari Melaka, Nur Aznita Husaini, 30, berkata, setakat ini, tidak nampak usaha yang meyakinkan ditunjukkan oleh kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup rakyat.
TERTEKAN
“Usaha setakat ini bersifat sementara seperti Jualan Rahmah sedangkan harga berterusan meningkat dan barang itu pula sukar diperoleh di pasaran. Rakyat sukar hendak bertahan jika terus tertekan dengan kenaikan harga barang.
“Justeru, saya berharap kerajaan akan mengumumkan langkah drastik yang dapat meyakinkan rakyat bahawa kos sara hidup di negara ini adalah terkawal. Beri subsidi bersasar kepada yang layak jika itu mekanisme terbaik,’’ katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Farah Asyikin Abu Samah, 40, berharap kerajaan tidak meminggirkan kebajikan golongan pekerja swasta dengan mengawal harga barangan keperluan.
“Nilai duit RM50 sudah tidak macam dulu lagi, kalau beli barang pun jika jimat-jimat tetap tidak bertahan lama. Kos sara hidup menjadi keutamaan yang perlu dilihat kerajaan,” katanya.
PELAJAR
Natasya Mohd. Aripin, 22, pula berkata, golongan pelajar seperti beliau juga terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini, apatah lagi sebahagian pelajar hanya mengharapkan wang daripada ibu bapa.
Selain makanan, katanya, kos lain seperti penginapan dan yuran pengajian menambahkan lagi kepayahan hidup pelajar.
“Saya berharap belanjawan kali ini lebih mesra pelajar dan mengambil kira pandangan serta suara orang muda. Perkenalkan semula baucar buku bagi tujuan pembelian buku rujukan atau peralatan berkaitan pembelajaran kepada pelajar institusi pengajian tinggi,’’ katanya.
Golongan petani pula berharap isu harga racun, baja dan makanan ternakan yang semakin meningkat akan ditangani dalam belanjawan tahun depan.
INPUT
Azman Abdul Malek, 52, dari Kampung Chenderak, Jelebu, berkata, peningkatan harga input pertanian sangat memberikan tekanan kepada golongan petani dalam menguruskan kebun dan ternakan.
“Saya mengusahakan pelbagai jenis ternakan serta sayur-sayuran sejak lapan tahun lalu tetapi kenaikan harga input pertanian sejak kebelakangan ini sangat membebankan.
“Harga racun dulu lebih RM100, kini sudah berharga lebih RM200, kalau tidak racun, rumput naik tanaman juga tidak dapat tumbuh lebih baik dalam keadaan semak,’’ katanya.
Peniaga kecil di Gua Musang, Kelantan pula mahu kerajaan menyediakan peruntukan dan bantuan bagi memulihkan perniagaan mereka yang terjejas.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kebanyakan peniaga mengakui berdepan kesukaran susulan peningkatan kos sara hidup yang menyebabkan penduduk lebih memilih untuk berjimat.
Situasi itu diakui sendiri oleh salah seorang pemilik kedai makan, Hasnah Deraman, 51, di Bandar Lama di sini apabila turut terkesan dengan situasi yang berlaku sekarang.
KEUNTUNGAN
Katanya, selepas pandemik Covid-19, dia belum meraih keuntungan hasil daripada jualan makanan di kedainya.
“Dana diperlukan untuk membantu golongan peniaga kecil-kecilan bagi mengelakkan kami terjebak dengan pinjaman ah long. Harap ada berita gembira pada Jumaat ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Nordin Ahmad, 54, memberitahu, sekiranya tiada bantuan, penjaja kecil akan gulung tikar kerana situasi perniagaan sekarang ini sangat sukar berikutan kos yang naik dan langkah rakyat berjimat-cermat.
“Kami berharap Belanjawan 2024 memberi ruang kepada peniaga kecil-kecilan untuk bernafas sepanjang tempoh sukar ini. Besar harapan kami sebagai peniaga kecil mendapat bantuan kerajaan terutamanya kewangan,” ujarnya. – UTUSAN