RANTAU PANJANG: Muslim Care Malaysia dengan kerjasama 39 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menghantar 50 tan makanan ke Palestin bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara berkenaan yang ditindas oleh rejim Zionis ketika ini.
Presidennya Zulkifli Wahijan berkata, bantuan itu akan dihantar menerusi dua penerbangan yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ke Mesir pada Jumaat ini.
Menurutnya, selain itu barangan keperluan lain seperti selimut, botol susu, beg mayat, sarung tangan untuk mangsa perang turut dihantar ke negara bergolak tersebut.
“Untuk melengkapkan lagi misi ini, kita turut mendapat bantuan dari Akaun Amanah Kemanusian Rakyat Palestin (AAKRP) yang diselia oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Water2Survive MCM dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di dewan serbaguna Taman Rantau Mas Rantau Panjang di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, sebanyak RM500,000 nilai bantuan dari pihak MCM yang dibeli di Kaherah, Mesir masih terkandas di Rafah.
Katanya, hal ini kerana pintu sempadan Rafah masih belum dibuka.
“MCM menempatkan tiga sukarelawan di sempadan Rafah dan bersiap sedia memasuki Palestin sebaik pintu sempadan dibuka.
“Selain itu satu pasukan sukarelawan daripada rakyat tempatan di Gaza. Bantuan yang terkandas itu adalah ambulans katil dan ubat-ubatan,” katanya-UTUSAN