Mayat lelaki Orang Asli dibaham harimau ditemukan dalam keadaan ngeri

Mayat lelaki Orang Asli dibaham harimau ditemukan dalam keadaan ngeri

SIK Choon Foo (kanan) melihat jenazah mangsa di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang, Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Mayat lelaki Orang Asli yang dibaham harimau belang sebelum diseret sejauh 300 meter ke cerun bukit di kawasan kebun kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin ditemukan dalam keadaan mengerikan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Pisie Amud, 25, dijumpai semalam oleh penduduk Orang Asli dengan keadaan kaki kiri yang telah tiada dan mukanya sudah dalam keadaan tidak sempurna selepas dipercayai dimakan haiwan tersebut.

Menurutnya, organ dalaman pada bahagian kepala mangsa juga sudah tiada selain terdapat kecederaan pada bahagian punggungnya.

“Selain itu, leher mangsa juga ada kesan cakar pada akibat cengkaman kuku harimau berkenaan.

“Anggota keselamatan menjumpai mangsa dalam keadaan terbaring dengan tubuh yang tidak sempurna di atas tanah di kawasan bercerun kawasan semak berhampiran dengan ladang sawit kira-kira pukul 11.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Choon Foo memberitahu, siasatan awal mendapati, mangsa diseret sejauh 300 meter ke bawah cerun hutan belukar dari kawasan mangsa dipercayai diterkam pak belang itu.

Menurutnya, operasi mencari mayat mangsa melibatkan seramai 27 anggota keselamatan terdiri daripada anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Anggota keselamatan mengambil masa satu jam 15 minit untuk membawa mangsa keluar dari kawasan mangsa dijumpai ke luar hutan.

“Mayat mangsa dibawa keluar dari kebun itu pada pukul 12.45 tengah hari sebelum tiba di Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat kira-kira dua jam 15 minit kemudian,” ujarnya.

Choon Foo memberitahu, hasil siasatan di lokasi kejadian, haiwan liar itu dipercayai masih berkeliaran di kawasan terbabit.

Katanya, penduduk Orang Asli di sekitar Pos Pasik dinasihatkan agar berhati-hati dan sentiasa bergerak secara berkumpulan sekiranya berada di kawasan hutan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN