Masjid, surau di Johor kutip sumbangan bantu Palestin - Utusan Malaysia

Masjid, surau di Johor kutip sumbangan bantu Palestin

MOHD. FARED MOHD. KHALID (duduk tengah) mencuba permainan wakaf bersama pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) An Nur, Benut, Pontian yang muncul juara Pertandingan Global Wakaf Game Peringkat Negeri Johor 2023 di Dewan Produktiviti MPC Wilayah Selatan, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 3,000 masjid dan surau di negeri ini akan membuat kutipan untuk Tabung Kemanusiaan Bantuan Rakyat Palestin dalam tempoh dua minggu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tabung yang dilancarkan sejak minggu lalu memberi ruang kepada umat Islam untuk menyumbang kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis.

“Kita tidak meletakkan sasaran tetapi kita harap dapat mengutip seberapa banyak mungkin. Kutipan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum diserahkan kepada kerajaan yang mengelolakannya.

“Saya mengajak rakyat Johor untuk menyumbang kepada tabung ini,” katanya selepas menyempurnakan Pertandingan Global Wakaf Game Negeri Johor 2023 di Dewan Utama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, di sini.

Pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan Kepada Rakyat Palestin sebagai tanda solidariti membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, berkata, semua pihak berkuasa agama negeri diminta membuat kutipan yang kemudian akan disalurkan ke Tabung Musa’adah JAKIM-YWM melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad: 86-0221818-6.

Dalam pada itu,  Mohd. Fared  menggalakkan dan menyokong sebarang bentuk perhimpunan dan solidariti untuk rakyat Palestin yang ketika ini sedang berdepan penindasan oleh Israel.

Kerajaan negeri mengalu-alukan pelbagai pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan ceramah terbuka menyokong perjuangan Palestin, tetapi dilakukan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang.

Selain itu Mohd. Fared memberitahu, semua masjid dan surau juga sudah melakukan solat hajat dan bacaan doa qunut Nazilah terutama selepas solat Jumaat sejak konflik Palestin-Israel itu tercetus.

“Masjid dan surau di negeri ini yang mengadakan solat hajat selepas solat Maghrib dan Isyak juga digalakkan. Saya seru umat Islam supaya terus berdoa untuk rakyat Palestin dan ini termasuk juga bukan Islam. Ini kerana isu Palestin adalah isu kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya