KUANTAN: Seramai 15 orang terdiri tiga pegawai dan 12 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menamatkan Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023, di sini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kursus julung kali diadakan itu menarik penyertaan hampir 50 orang peserta dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim Malaysia.
Menurutnya, kesemua peserta kursus terlebih dahulu perlu melalui beberapa siri tapisan oleh Markas Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan saringan kesihatan di Institut Perubatan Bawah Air (IPBAH) Hospital Angkatan Tentera di Kota Kinabalu serta Lumut.
“Hasil keputusan saringan, seramai 22 pelatih disahkan sihat tubuh badan dan layak untuk mengikuti Kursus Asas Penyelam Penyelamat Maritim Malaysia ini,” katanya di Majlis Penutup Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 Maritim Malaysia, di Akademi Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, setelah melalui fasa seminggu latihan penyesuaian, 16 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya iaitu kursus Penyelam Penyelamat yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu ujian kolam, praktikal pelabuhan di jeti Zon Maritim Kemaman dan praktikal laut menggunakan KM Pekan sebagai platform.
“Semua pelatih juga perlu melepasi ujian diving ability test, praktikal confined space rescue dan deep dive. Bagaimanapun seorang peserta terkandas pada ujian kolam menjadikan peserta kursus berkenaan hanya seramai 15 orang,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, keunikan kursus itu turut mengaplikasikan teknik Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dalam kebuk ruangan sempit yang dikongsi oleh penyelam Japan Coast Guard (JCG).
Katanya, silibus itu diguna pakai hasil kerjasama Maritim Malaysia dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak 2014 dan Malaysia telah menjadi satu-satunya negara di Asia selepas Jepun yang mempunyai kepakaran ini.
“Setelah tamat tempoh kursus ini, kesemua mereka bakal diletakkan di bawah Skuadron Selam Maritim Malaysia kendalian STAR Team dan akan ditempatkan di enam lokasi berbeza iaitu Perak, Johor, Sabah, Sarawak, AMSAS dan STAR Team Ibu Pejabat Maritim Malaysia,” katanya. – UTUSAN