Mahkamah Tinggi kekal lepas, bebaskan anak bekas Exco, perunding hartanah - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi kekal lepas, bebaskan anak bekas Exco, perunding hartanah

ABDUL LATIF BANDI (kiri) memeluk anaknya, Ahmad Fauzan di luar mahkamah selepas kekal dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, Johor Bahru daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan anak bekas Exco Johor, Datuk Abd. Latif Bandi dan perunding hartanah daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, enam tahun lalu.

Hakim, Noor Hayati Mat mẹmbuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ahmad Fauzan Abd. Latif, 31, dan Amir Shariffuddin Abd. Raub, 50.

Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah di bawah Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama dan beliau serta Amir Shariffuddin, masing-masing turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Noor Hayati membuat keputusan itu setelah meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Kamarudin Kamsun, pada 7 Ogos tahun lalu berdasarkan keterangan bersumpah semua saksi, meneliti kesemua exhibit, memeriksa keterangan bertulis yang difailkan dan hujahan lisan pada akhir kes pembelaan.

Noor Hayati juga berpendapat wang yang diterima Amir Shariffuddin adalah servis konsultasi R1 dalam urusan yang tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang. 

Katanya, penarikan balik rayuan terhadap Abd. Latif memberi kesan kepada kedua-dua tertuduh setelah gagal membuktikan kes terhadap bekas Exco kerajaan negeri itu membabitkan anaknya dan Amir Shariffuddin.

“Maka, setelah meneliti keterangan kedua-dua tertuduh dalam pembelaan mereka, saya dapati anggapan di bawah Seksyen 50(1) SPRM telah berjaya dipatahkan oleh Amir Shariffuddin, Ahmad Fauzan juga telah mematahkan inferen di bawah Seksyen 4(2) AMLA dan tiada kekhilafan di pihak Hakim Mahkamah Sesyen dalam menerima penjelasan mereka.

“Berdasarkan alasan dan pendapat yang diberikan, saya berpendapat, tiada kekhilafan dari segi undang-undang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dalam membuat keputusan pelepasan ini, maka dengan ini rayuan perayu ditolak dan perintah pembebasan dan pelepasan Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan dikekalkan,” katanya.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Sesyen telah melepaskan dan membebaskan Amir Shariffuddin, Abd. Latif dan Ahmad Fauzan Hatim pada akhir kes pembelaan dan rayuan telah difailkan terhadap ketiga-tiga responden.

Pada 20 Oktober tahun lalu, rayuan terhadap Abd. Latif ditarik balik dan Timbalan Pendakwa Raya meneruskan rayuan terhadap Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan sahaja.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keon, manakala Amir Shariffuddin dan Ahmad Fauzan diwakili Datuk Salehudin Saidin,

Khairulazwad Sariman, Zulaikha Aini Mohd. Khair Johari, Siti Sarah Khalil, Tuan Abd. Rahim Ali, Ahmad Nur Awalluddin Zakaria dan Syahmi Nawawi.

Pada 14 Jun 2017, Abd. Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Walau bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin untuk membela diri selepas Hakim, Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN