TANAH MERAH: Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memutuskan seorang lelaki yang mendakwa ‘dimadukan’ isterinya masih kekal sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Hakim Ahmad Hariri Mohd. Saat membuat keputusan itu selepas Rahaman Mohamed Jaafar, 47, melakukan sumpah penafian bahawa dia tidak pernah menceraikan isterinya sebagaimana yang didakwa.
“Menerusi lafaz sumpah defendan, maka defendan dan plaintif masih kekal sebagai suami isteri melainkan plaintif hadir ke mahkamah dengan bukti baharu,” kata Ahmad Hariri ketika membacakan keputusan permohonan lafaz cerai di antara Rahaman dan Wan Nor Shakirin Wan Abdul Razak, 32.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan permohonan cerai yang difailkan oleh Wan Nor Shakirin.
Sementara itu Rahman ketika ditemui pemberita meluahkan rasa bersyukur selepas Mahkamah memutuskan dia dan isteri keduanya itu masih kekal sebagai pasangan yang sah.
Katanya, sehingga kini dia masih sayangkan isteri keduanya walaupun sudah bertindak berkahwin dengan lelaki lain.
“Alhamdulillah saya berani bersumpah kerana saya tidak pernah melafazkan cerai talak tiga sebagaimana yang didakwa isteri.
“Walaupun isteri ada memfailkan cerai, saya tidak akan melepaskannya kerana sayang saya terhadap dia masih kuat,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tembelang seorang isteri yang bertindak ‘memadukan’ suaminya terbongkar selepas perkahwinan kedua wanita itu diketahui oleh suami pertamanya.
Susulan itu, Rahaman yang merupakan seorang peniaga telah bertindak memfailkan tuntutan faraq nikah di antara isterinya dengan suami kedua.-UTUSAN