Lima rakyat Palestin pernah lanjut pengajian di Malaysia maut di Gaza - Utusan Malaysia

Lima rakyat Palestin pernah lanjut pengajian di Malaysia maut di Gaza

AMINUDDIN Harun (tengah) dan Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin (kiri) ketika menerima sumbangan daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk rakyat Palestin pada pelancaran Kempen Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira lima orang rakyat Palestin yang pernah melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam di negara disahkan terbunuh sejak Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Mission (GPM), Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh wakil GPM Malaysia yang berada Gaza, Dr. Tareq M. Altalmas yang juga pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jelas Ahmad Fahmi, kesemua yang meninggal itu termasuklah pasangan suami isteri yang menuntut di Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) iaitu Mohammed J. H. Alzaanin dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen yang terkorban dalam serangan bom Israel seperti yang dimaklumkan oleh universiti berkenaan sebelum ini.

“Kebanyakan daripada mereka individu yang kami kenali dan Malaysia punya sumbangan dalam bentuk pendidikan kepada rakyat Palestin ini. Mereka kebanyakannya juga sudah sampai ke peringkat pasca kedoktoran dan mereka juga mempunyai peranan dan sumbangan tersendiri di bumi Gaza.

“Mereka pelajar di Malaysia di USIM dan juga UIA, dan lain juga di universiti awam di sini, mereka belajar di sini dan telah meninggal dunia di Gaza akibat serangan Israel ini,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Peduli Palestin Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri di sini hari ini.

Kempen tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi memberitahu, wakil GPM Malaysia di Gaza iaitu Dr. Tareq juga kini berdepan situasi sukar di situ malah rumah yang didiami dengan keluarganya juga turut musnah dibedil bom Israel.

“Saya dapat mengikuti perkembangannya di Facebook dan dia memaklumkan rumahnya kini juga sudah hancur,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan kutipan RM1 juta untuk disumbangkan kepada umat Islam di Palestin menerusi kerjasama dengan GPM Malaysia.

“Alhamdulillah, sumbangan dari agensi-agensi dan syarikat-syarikat swasta di Negeri Sembilan adalah sebanyak RM800,000

“Selain itu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam telah meminta semua masjid Negeri Sembilan melancarkan  kutipan Jumaat untuk Palestin sejak 13 Oktober lalu. Setakat semalam, jumlah kutipan dari tabung masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan berjumlah RM25,833.20. 

“Kutipan masih berjalan dan kita jangkakan lebih banyak sumbangan masyarakat yang dapat kita kumpulkan,” katanya.

Orang ramai dan mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun CIMB 8605701731 atas nama Bendahari Negeri, NS- Akaun Terimaan Khas.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya