TUMPAT: Kemalangan jalan raya yang dialami semasa bekerja di Kuala Lumpur tujuh tahun lalu mengubah sepenuhnya hidup Mohd. Rahiman Aladin,34, dari Kampung Laut di sini apabila hilang upaya untuk bekerja.
Sejak itu, Mohd. Rahiman bergantung sepenuhnya kepada bantuan berjumlah RM500 yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, anak keenam dari tujuh beradik itu, tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan, sebaliknya kental ‘berjuang’ mencari wang bagi mengukuhkan ekonomi keluarga dengan menjadi ejen (affiliate) menerusi aplikasi TikTok.
Mohd. Rahiman berkata, sistem itu tidak memerlukan dia memerah kudrat yang banyak sebaliknya hanya perlu membuat naik kandungan video bagi mempromosikan barangan jualan secara dalam talian.
“Alhamdulillah, saya mula aktif berniaga melalui affiliate ini sejak Mac lalu. Sehingga kini, saya juga mampu meraih pendapatan lebih RM1,000.
“Terbaharu saya telah menjadi ejen jualan emas kepada sebuah syarikat. Dengan cara ini dapatlah saya menambah pendapatan dalam meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dari Pengurus Rakan Niaga dan Sumber Manusia Mz Gold. Sdn Bhd Nur Akmal Ahmad Tajudin di Kampung Laut, di sini hari ini.
Mengimbau semula kemalangan itu, Mohd. Rahiman memberitahu, kejadian tersebut berlaku semasa dia perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Katanya, ketika itu dia terlibat dalam kerja-kerja pendawaian elektrik di Kuala Lumpur.
“Akibat kemalangan itu saya lumpuh dan terlantar di Hospital Sungai Buluh selama dua bulan sebelum dibawa pulang ke kampung. Sejak itu saya hilang upaya untuk bekerja.
“Kini, ibu (Wan Shamsiah Ibrahim, 64) yang membantu menguruskan saya. Selain itu, ibu terpaksa menjaga abang sulung yang menghidap penyakit sawan dan hilang upaya untuk bekerja,” ujarnya.
Mohd. Rahiman berkata, bagaimanapun dia lega apabila mendapat bantuan bulanan sebanyak RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sementara itu Nur Akmal berkata, pihaknya memberi tunjuk ajar kepada Mohd. Rahiman dalam membantu meningkatkan hasil jualannya selepas ini.
Katanya, bimbingan itu menerusi penyediaan kandungan dalam menarik orang ramai untuk membeli barang kemas melalui affiliate sekali gus membantu kantung kewangan Mohd. Rahiman.
“Ini merupakan sebahagian bentuk perkongsian rezeki pihak kami dengan mereka yang memerlukan. Selain itu, kami turut mengalu-alukan golongan asnaf yang mahu menambah pendapatan dengan menjadi ejen,” katanya.-UTUSAN