BACHOK: Polis merampas 55.7 kilogram (kg) daun ketum selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Permatang Machang, Jelawat di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas sebanyak 97 liter air ketum dengan keseluruhan rampasan kedua-dua bahan tersebut bernilai RM1,527.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, semasa serbuan suspek yang berada di dalam rumah telah bertindak melarikan diri.
Menurutnya, suspek kemudian berjaya diberkas selepas bergelut dengan anggota yang cuba menahannya.
“Pemeriksaan di kawasan rumah tersebut menjumpai 55.7 kg daun ketum dan 97 liter air ketum.
“Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai dua rekod lampau berkait Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Ismail memberitahu, suspek ditahan dan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN