Lebih 50 peratus projek ECRL siap dibina - Utusan Malaysia

Lebih 50 peratus projek ECRL siap dibina

KERJA-KERJA pembinaan ECRL kini leih 50 peratus siap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kemajuan sebanyak 50.29 peratus setakat Ogos 2023.

Kos bagi pembinaan projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan sehingga ke Pelabuhan Klang di Selangor dengan jajaran sepanjang 665km serta 20 buah stesen (penumpang dan kargo) di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor masih kekal dengan RM50.27 bilion.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tahun ini merupakan tahun puncak pembinaan projek tersebut kerana ia melibatkan kerja-kerja struktur utama seperti pemasangan rasuk (beam launching), pembinaan stesen dan pemasangan landasan (track laying).

“Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan seperti pembinaan jambatan yang menggunakan jentera beam launcher, kerja-kerja pengorekan, kerja-kerja struktur dan pembinaan terowong sedang giat dijalankan di sepanjang jajaran ECRL.

“Kerja-kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah Tunnel Boring Machine (TBM) untuk Terowong Genting pertama telah mencapai 3.10km manakala Terowong Genting kedua telah mencapai 4.29km,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Kata beliau,, jumlah panjang bagi setiap Terowong Genting ialah 16.39km dan ia merupakan satu-satunya terowong berkembar bagi projek ECRL.

DITEMBUSI

“Sejumlah 25 terowong telah berjaya ditembusi setakat 25 Ogos 2023termasuk 21 terowong di Seksyen A iaitu antara Kota Bharu dan Dungun dan Seksyen B iaitu antara Dungun dan Temerloh manakala baki empat terowong adalah di bawah Seksyen C adalah antara Temerloh dan Pelabuhan Klang,” katanya.

Katanya, kerja-kerja pelancaran rasuk (beam launching) juga telah bermula di tujuh lokasi iaitu Kota Bharu (Kelantan), Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik (Terengganu) serta Kuantan dan Paya Besar (Pahang) dengan sejumlah 1,100 dari 4,328 rentang jambatan (bridge span) telah siap dipasang.

Beliau menjawab soalan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai status terkini perkembangan projek ECRL termasuk bilangan syarikat tempatan dan syarikat luar yang terlibat dalam projek ECRL dan implikasi kewangan tambahan yang terkini bagi projek tersebut.

Kontraktor utama projek ECRL adalah China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) yang juga merupakan kontraktor Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).

Pihak kontraktor utama ECRL telah melantik pelbagai syarikat tempatan yang secara keseluruhannya berjumlah 2,785 syarikat terdiri daripada subkontraktor, konsultan, pembekal serta pemberi perkhidmatan.

Ia turut meliputi sebanyak 166 subkontraktor bumiputera, konsultan (31), pembekal dan perkhidmatan (239) dengan jumlah keseluruhan 436 bumiputera mendapat limpahan daripada bidang pembinaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN