KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mendedahkan lebih 30,000 daripada 74,000 pekebun kecil di negeri ini tidak mengusahakan kebun-kebun getah milik mereka.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Ahmad Zainal Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan 48,000 daripada 120,000 hektar keluasan keseluruhan kebun getah di Kelantan.
Menurutnya, harga pasaran getah yang mencabar, menukar tanaman lain, kekurangan tenaga pekerja, keadaan cuaca tidak menentu serta serangan penyakit pokok menjadi punca utama yang mendorong masalah itu.
“Ketika ini, kebanyakkan pekebun kecil telah menukar tanaman getah kepada tanaman lain seperti nenas serta durian yang tidak memberi jaminan pasaran seperti tanaman komoditi getah dan sawit.
“Selain itu, faktor pekebun kecil kebanyakannya sudah berusia dan menyebabkan kebun terbiar kerana ketiadaan tenaga kerja dan pelapis muda,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Risda di sini hari ini.
Ahmad Zainal memberitahu, berdasarkan rekod di seluruh negara, kebun getah yang tidak bertoreh meningkat kepada 30 peratus iaitu 533 ribu hektar pada tahun 2022 berbanding 409 ribu hektar pada 2019.
Katanya, keadaan itu turut menjadi faktor utama kepada kemerosotan pengeluaran getah asli negara setiap tahun.
“Kita pernah mencapai pengeluaran getah asli sebanyak 1 juta metrik tan sekitar tahun 2010 namun jumlah berkenaan menurun 700,000 metrik tan pada tahun 2015.
“Manakala tahun lalu, kita hanya mencatatkan 377,000 metrik tan sahaja berbanding tahun 2021 sebanyak 469,700 metrik tan,”ujarnya.-UTUSAN