Larangan letak kenderaan hadapan rumah demi jaga keharmonian - MBPG - Utusan Malaysia

Larangan letak kenderaan hadapan rumah demi jaga keharmonian – MBPG

ASMAN SHAH ABD. RAHMAN (duduk dua kanan) mengadakan sidang akhbar di Menara Aqabah, Pasir Gudang berkaitan isu larangan meletak kenderaan di hadapan rumah dan laluan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) melaksanakan penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di hadapan kediaman untuk menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berkata, ini kerana isu tersebut telah menimbulkan banyak pergaduhan antara penduduk di kawasan kediaman masing-masing.

“Undang-undang ini telah lama ada, cuma perkara ini tular selepas terdapat perbincangan untuk menguatkuasakan peraturan itu ekoran ratusan aduan diterima MBPG. Tahun lalu kita terima 242 aduan, manakala hingga September tahun ini, kita terima 349 aduan.

“Majoriti daripada aduan tersebut dibuat jiran-jiran yang memaklumkan mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain disebabkan perkara ini selama bertahun-tahun. Jadi, sudah tiba masa kita kuatkuasakan undang-undang ini demi keharmonian masyarakat dan penduduk.

“Hasrat MBPG untuk memulihkan hubungan sesama anggota masyarakat. Pada masa sama kita juga tidak mahu membebankan lagi masyarakat tanpa sebab yang wajar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah, Pasir Gudang, di sini hari ini.

Asman Shah berkata, tindakan penguatkuasaan itu juga tanggungjawab pihaknya kepada pembayar cukai di kawasan Pasir Gudang, iaitu perlu bertindak terhadap setiap aduan diterima kerana tidak mahu dituduh sebagai tidak melaksanakan tanggungjawab.

“Penguatkuasaan undang-undang itu dijangka hanya dibuat tahun depan. Kita akan adakan kempen kesedaran bagi mendidik masyarakat tentang peraturan itu dan sebelum ini kita beri kelonggaran serta tidak mengenakan tindakan tegas, sebaliknya bersikap fleksibel, namun apabila perkara itu perlu dilaksana, kita akan laksanakan,” katanya.

Asman Shah turut memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis tentang kesalahan tersebut, namun tiada kompaun dikenakan kepada mana-mana pemilik kenderaan.

“Apabila kita terima aduan, kita akan buat pemeriksaan terlebih dahulu dan sekiranya benar aduan itu, kita akan berikan notis selama 21 hari untuk pemilik kenderaan mengalihkan kenderaan mereka.

“Sekiranya masih berdegil, baharulah tindakan kompaun dibuat melibatkan jumlah minimum sebanyak RM100 dan maksimum sebanyak RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.

Beberapa hari lalu, tular satu notis pemberitahuan MBPG yang menyatakan larangan meletakkan kenderaan di hadapan rumah termasuk di luar pagar sehingga mendapat pelbagai reaksi penduduk Pasir Gudang, termasuk ahli politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya