KUALA LUMPUR: Penyanyi, Noryn Aziz, 46, tidak menganggap kritikan juri program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) sebagai perkara yang akan menjejaskan imejnya sebagai gurul vokal.
Ujar Noryn, dia juga punya kelemahan yang harus diperbaiki dan menganggap teguran juri sebagai proses pembelajaran yang bermanfaat untuk diri sendiri dan pelajarnya.
“Saya di sini untuk belajar dan saya perlukan doktor (nyanyian). Jadi juri-juri ASGV ibarat doktor saya.
“Hetty Koes Endang menegur tentang persembahan, Datuk Syafinaz Selamat tentang muzik dan Datuk Ramli MS memberikan input bagi keseluruhan persembahan.
“Kami bercakap ‘bahasa’ yang sama, yang mudah kami semua faham. Kritikan dan teguran tidak mengganggu masa depan saya sebagai cikgu vokal,” katanya.
Dalam masa yang sama, Noryn juga memaklumkan proses pembelajaran perlu berterusan meskipun seorang penyanyi itu memiliki pengalaman luas dan ilmu yang banyak dalam bidang tersebut.
“Tak ada ego, saya nak belajar. Kita buat kesilapan walaupun kita tahu sesuatu perkara.
“Saya tidak sempurna dan saya nak tahu kelemahan saya,” sambungnya. – UTUSAN