KUANTAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan yuran pendaftaran bagi kemasukan ke universiti tidak melebihi RM1,500 pada sesi Januari tahun depan seperti mana dibentangkan dalam Belanjawan 2024, Jumaat lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu demi memastikan golongan mahasiswa seluruh negara tidak terbeban dengan sebarang kenaikan kos yuran pengajian.
Tegasnya, inisiatif murni itu adalah sifat ihsan kerajaan kepada rakyat sekali gus merangsang pelajar tidak menjadikan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.
“Saya suka nyatakan bahawa KPT tidak menyumbang kepada kenaikan kos dan kita akan pastikan yuran kita berada pada tahap disarankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Terbuka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Ekspokonvokesyen UMPSA di sini hari ini.
Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 dilaporkan sebagai berkata, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam (UA) dihadkan tidak melebihi RM1,500 bermula Januari 2024.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, perkara itu supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua pelajar baharu yang layak.
Turut diumumkan oleh Anwar peruntukan RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, meningkat RM1 bilion berbanding RM15.3 bilion tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut Belanjawan 2024, Mohamed Khaled berkata, peningkatan peruntukan kepada sektor pendidikan tinggi dapat membantu dan merangsang membangunkan bakat terbaik untuk negara pada masa depan.
Beliau berkata, peruntukan itu juga dapat meningkatkan lagi penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar selain memastikan berlaku pemindahan ilmu dan proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi.
“Jadi saya percaya peruntukan untuk sektor pendidikan tinggi akan terus memainkan peranan utama untuk menjayakan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan untuk rakyat serta negara,” katanya.
Mohamed Khaled turut mengingatkan universiti supaya bersedia untuk mengemukakan permohonan bagi menerima peruntukan seperti diumumkan dalam belanjawan itu.
“Kita akan lihat impak kepada permohonan itu… kita nak pastikan duit yang dibelanjakan membawa pulangan yang bermanfaat dan berimpak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPT akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan dibuat Mahasiswa Progresif Universiti Malaya (UM) berhubung tindakan universiti itu menaikan yuran perkhidmatan secara senyap tanpa sebarang notis dikeluarkan.
Media sebelum ini melaporkan, Mahasiswa Progresif UM menuntut penjelasan daripada pihak pentadbiran institusi itu berhubung tindakan yang dianggap tidak wajar dan dilakukan secara tiba-tiba tanpa sebarang makluman. – UTUSAN