JOHOR BAHRU: Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) menerusi KPRJ Sports Sdn. Bhd. (KSSB) berhasrat menganjurkan Johor All Star E-Sports Championship 2023 (JAS 2023) pada skala besar, tahun depan.
Ini susulan kejayaan penganjuran JAS 2023 di Angsana Mall Johor Bahru yang mendapat sambutan luar biasa dari segi penyertaan serta kemeriahan penonton yang hadir menyaksikan perlawanan akhir permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Lukman Abu Bakar mengakui tidak menyangka penganjuran pertandingan permainan e-sport itu mendapat sambutan yang di luar jangkaan.
“KPRJ menerusi KPRJ Sport masih baru dalam penganjuran program e-sport seperti ini. Tahun lalu kita mempertandingkan empat jenis permainan elektronik di Kompleks Sukan Educity, tapi tahun ini kita beri tumpuan kepada MLBB sahaja.
“Kita tidak menyangka sambutan yang diterima cukup luar biasa. Bagi perlawanan akhir sahaja, kita merekodkan ‘views’ lebih 100,000 menerusi beberapa platform media sosial KPRJ.
“Justeru, kita melihat ini sebagai satu galakan untuk menganjurkan JAS Championship ini dengan berskala lebih besar pada tahun akan datang dengan mengimport lebih banyak pasukan ternama di rantau Asia Tenggara,” katanya.
JAS 2023 menyaksikan pasukandari Indonesia, Alter Ego bergelar juara menewaskan pasukan tempatan, Todak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, manakala sebuah lagi pasukan ternama tempatan, Homebois sekadar di tempat ketiga.
Sebanyak 171 pasukan mendaftar di pusingan kelayakan JAS 2023 dan hanya 60 pasukan yang layak bertanding selepas melalui proses tapisan dalam kejohanan yang turut mendapat sokongan daripada Mobile Legend Pro League (MPL).
Lukman berkata, penganjuran kejohanan itu selaras dengan permintaan ramai kerana sukan elektronik kini semakin mendapat tempat dalam kalangan golongan muda dan mempunyai 6.3 juta pemain.
“Menerusi penganjuran program ini, para peminat sukan elektronik berpeluang untuk melihat secara dekat pasukan profesional beraksi. Kita bukan sahaja menaikkan nama Johor, malah mempromosikan sukan elektronikini secara lebih berkesan dan meluas,” katanya. – UTUSAN