SEGAMAT: Hospital Pakar KPJ Kluang memperkenalkan Pakej Pelancongan Kesihatan Domestik dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Balai Raya Bukit Siput, di sini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan, Mohd. Azhar Abdullah, pakej tersebut dilancarkan sempena Ulang Tahun ke-3 KPJ Kluang.
“Kami mengambil kesempatan ini memperkenalkan pakej kesihatan sambil menaiki kereta api dari Segamat ke Kluang, pergi dan balik termasuk penginapan di Kluang.
“Selain memperkenalkan pakej pelancongan kesihatan domestik ini, kami juga mengadakan pemeriksaan dan ujian kesihatan percuma kepada penduduk setempat bagi menarik minat mereka yang suka mencari kelainan serta menambah pengalaman dalam hidup dengan pakej serendah RM300,” katanya pada majlis perasmian memperkenal pakej tersebut, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Kluang, Nor Arfah Arshad; Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Zaid Kassim dan Ketua Kampung Sedeng, Kamaruddin Ahmad.
Mohd. Azhsr berkata, pakej tersebut juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit umum yang biasa dihidapi oleh rakyat antaranya, diabetis, darah tinggi, kanser payudara dan hepatitis.
“Hospital Pakar KPJ Kluang juga telah menyerahkan sumbangan kepada Masjid Muhajirin dan Breast Cancer Support Society serta pemberian alat bantu pendengaran kepada seorang pesakit yang mempunyai masalah pendengaran.
“Selain itu, KPJ Kluang juga melancarkan klinik beroperasi waktu petang dan pengumuman tentang pembukaan makmal jantung (Cath-Lab) yang bakal dibuka pada suku pertama 2024.
“Aktiviti ini juga telah mendapat kerjasama dari Proton AG Autoworld (Kluang) Sdn. Bhd. dan ES Team Auto Sdn. Bhd., bagi membawa peserta dari Hospital Pakar KPJ Kluang ke stesen KTM Kluang dan Segamat ke balai raya,” katanya. – UTUSAN