Koperasi digalak ceburi bidang pertanian, asas tani - Utusan Malaysia

Koperasi digalak ceburi bidang pertanian, asas tani

MOHD. HAIRI MAD SHAH bergambar bersama-sama para pemenang Anugerah Koperasi Johor 2023 di Hotel Opero, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggalakkan koperasi menyahut seruan kerajaan menceburi bidang pertanian dan industri asas tani, sekali gus menjadi penyumbang bagi keperluan dan pengeluaran hasil negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Amran Abdul Kadir berkata, sektor pertanian dan industri asas tani ketika ini adalah sektor ketiga terbesar daripada enam cabang ekonomi di bawah SKM.

Katanya, sektor itu kini diberikan keutamaan bagi membantu negara yang kini berdepan kekurangan hasil tani seperti beras, ayam dan gula selain memperuntukkan RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan.

“Keutamaan diberikan kepada koperasi yang berminat untuk menyumbang kepada stok makanan negara seperti Koperasi Bela Rakyat Gambir Ledang (Kobera) yang menjalankan aktiviti sawah padi, kita galakkan koperasi untuk jalankan operasi berskala besar. 

“Selain padi, ternakan ayam dan akuakultur juga kita galakkan yang dilihat bertepatan dengan keperluan pada masa ini, kalau boleh kita nak gerakan koperasi jadi penyumbang utama dalam stok makanan negara,” katanya selepas Majlis Anugerah Koperasi Johor 2023 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah di Hotel Opero, di sini hari ini.

Selain pertanian dan industri asas tani, sektor utama di bawah SKM ialah  pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perkhidmatan kewangan, perladangan, hartanah dan industri pembinaan. 

Dalam pada itu, Amran berkata, Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) menyasarkan sebanyak 62 peratus koperasi beroperasi secara aktif menjelang 2025 dan meningkat menjadi 65 peratus pada 2030.

“Sebanyak 1,462 buah koperasi telah didaftarkan di negeri ini hingga tahun lalu dengan kekuatan anggota 463,067 ahli. Koperasi ini mempunyai modal syer dan yuran sebanyak RM330.25 juta serta aset berjumlah RM1.35 bilion telah mampu menjana perolehan sebanyak RM714.89 juta.

“Bagi perangkaan interim hingga Jun lalu, perolehan yang dijana oleh gerakan koperasi negeri Johor adalah RM450 juta yang merupakan peningkatan signifikan 14 peratus berbanding perolehan tahun lalu sebanyak RM390 juta,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Hairi memaklumkan, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang dilakukan SKM Johor dalam menganjurkan program pembangunan koperasi agar gerakan koperasi terus berkembang secara konsisten.

Beliau yakin sektor koperasi boleh memberi sumbangan menerusi teras pembangunan ekonomi yang menyasarkan Johor kembali meneguhkan semua sektor ekonomi seterusnya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri agar terus berkembang dengan pesat untuk tahun mendatang. 

“Ia penting bagi memastikan Johor berjaya mencapai nilai KDNK RM260 bilion menjelang 2030, lebih dua kali ganda saiz ekonomi ketika ini. Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.6 juta bermula tahun 2016 hingga 2023 bagi membiayai pelbagai program bantuan kepada koperasi di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya