Kongres terharu kasih sayang kerajaan terhadap pendidikan - Utusan Malaysia

Kongres terharu kasih sayang kerajaan terhadap pendidikan

JASNI MD KECHIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) melahirkan penghargaan tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan yang menyediakan peruntukan besar sebanyak RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan dalam Belanjawan 2024.

Presiden Kongres, Jasni Md. Kechik berkata, peruntukan diterima kementerian itu bertambah RM1 bilion berbanding Belanjawan 2023 yang memberi ruang lebih besar kepada penyediaan landskap pendidikan negara.

Tambah beliau, hal ini menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan serta kasih sayang kerajaan untuk melihat pembentukan modal insan karomah insaniah pelajar Malaysia yang bakal menjulang nama negara dan hidup aman damai serta harmoni di tanah air tercinta ini.

“Saya yakin dengan peruntukan ini, semua warga pendidikan di setiap peringkat sama ada di peringkat pentadbiran dan tenaga pengajar di sekolah mewujudkan sinergi baharu pendidikan negara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jasni yang juga Presiden Kesatuan Guru-Guru Kesatuan Guru-Guru Melayu Melayu Malaysia Barat (KGMMB) optimis Belanjawan 2024 telah meransang pelaksana dasar merealisasikan hasrat kerajaan Malaysia dengan sehabis baik untuk menjamin kualiti sekolah dan kualiti kemenjadian murid dicapai.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan perpaduan diterajui Anwar menyediakan peruntukan besar kepada sektor pendidikan dapat memastikan agenda pendidikan negara dapat disampaikan lebih menyeluruh hingga ke akar umbi.

“Sehubungan itu, kesatuan guru di negara ini berikrar terus komited bagi menjaya dan melaksanakan agensi pendidikan nasional bertaraf dunia.

“Kesatuan guru juga sentiasa komited memperjuangkan isu pendidikan khususnya menyokong serta membantu kementerian dalam melaksanakan agenda pendidikan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN