SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan perhatian serius susulan kekerapan aduan konflik yang berlaku antara penduduk dan harimau kumbang di negeri ini serta peningkatan laporan tangkapan haiwan liar itu sejak kebelakangan ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sehubungan itu berkata, beliau akan meminta pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk memberikan taklimat berhubung situasi tersebut.
“Saya akan dapatkan maklumat dan laporan daripada pihak Jabatan Perhilitan, perkembangan ini sesuatu perkara yang serius dan perlu diberikan perhatian. Saya akan minta Jabatan Perhilitan untuk memberikan taklimat, apa sebenarnya yang berlaku.
“Sambil kita mahu jaga populasi harimau kumbang ini, kita juga kena jaga keselamatan (penduduk) dan juga ternakan yang dibela masyarakat sekeliling,” katanya.
Beliau mengulas mengenai beberapa kejadian harimau kumbang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan khususnya di daerah Kuala Pilah dan Rembau kebelakangan ini.
Difahamkan bilangan harimau kumbang yang berjaya ditangkap dan masuk ke perangkap dipasang Jabatan Perhilitan sepanjang tahun ini di Negeri Sembilan mencecah sebanyak 13 ekor setakat ini.
Ia termasuklah tiga ekor haiwan liar itu yang masuk masuk ke dalam perangkap di Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah sejak 18 September lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai aduan penduduk di Kampung Beting Ulu bahawa terdapatnya aktiviti pengeluaran kayu balak di sekitar kawasan itu yang menyebabkan harimau kumbang terbabit keluar dari habitatnya, Menteri Besar memaklumkan akan menyiasat dan meneliti perkara tersebut.
“Aktiviti pembalakan memang kita kawal, kerajaan negeri sudah tidak lagi keluarkan lesen balak, ini semua lesen-lesen lama yang telah diberikan sebelum ini, ia tidak boleh dibatalkan, mereka baru beroperasi dan kita kena benarkan untuk beberapa waktu,” katanya.-UTUSAN.