GUA MUSANG: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukan RM50 juta bagi membina projek perumahan dan prasarana untuk kemudahan generasi kedua serta ketiga.
Pengurus Besarnya, W. Muhd. Rahimi Wan Salleh berkata, projek yang sudah dilaksanakan bermula tahun ini itu mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan tertakluk kepada penyediaan serta kelulusan Kebenaran Merancang (KM) oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, memahami keperluan rumah generasi baharu, Kesedar menyediakan kira-kira 300 lot rumah di kawasan berhampiran Program Pemajuan Kawasan (PPK) Paloh 2.
“Selain itu, kita turut membangunkan 100 lot kawasan penempatan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Sungai Asap untuk generasi kedua dan ketiga.
“Kesedar berharap projek ini dapat memberi manfaat kepada hampir 500 orang generasi kedua dan ketiga di RKT,” katanya ketika ditemui sempena Program Let’s Gateh @ Paloh 2, di RKT Paloh, hari ini.
W. Muhd. Rahimi memberitahu, hasil bancian yang dibuat ke atas generasi kedua di RKT, pihaknya mendapati bilangan generasi kedua seramai 14,000 orang namun yang tinggal di kawasan kawasan Kesedar tidak sampai 5,000.
Katanya, kebanyakan kumpulan itu mempunyai pekerjaan tersendiri termasuklah bekerja di ladang sawit kepunyaan ibu bapa mereka.
Sementara itu dalam perkembangan lain, W. Rahimi berkata, pelbagai program turut dilaksanakan bagi menambah pendapatan penduduk B40 dan mereka yang tersenarai dalam e-kasih dalam usaha membasmi kemiskinan di kawasan wilayah Kelantan Selatan.
Katanya, antara program yang sudah dilaksanakan adalah program peningkatan pendapatan yang melibatkan pemberian geran berbentuk projek sebanyak RM 10, 000 setiap peserta.
“Kita juga melaksanakan program sokongan perniagaan dengan fokus kepada B40 untuk mengelakkan mereka ini masuk ke dalam kumpulan miskin tegar. Program sokongan perniagaan ini memperuntukkan sebanyak RM 5,000 setiap peserta.
“Sehingga kini kedua-dua program terbabit sudah melibatkan hampir 120 peserta untuk tahun ini saja dan mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik,” katanya.-UTUSAN