Kerat jasad isteri, lelaki  Bangladesh kekal dipenjara 20 tahun - Utusan Malaysia

Kerat jasad isteri, lelaki  Bangladesh kekal dipenjara 20 tahun

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang bekas pelayan restoran warganegara Bangladesh kerana menyebabkan kematian isteri dengan cara mengeratnya kepada enam bahagian, lima tahun lalu.

Wanita itu dipenggal kepala manakala jasadnya dikerat dan disumbat dalam dua bagasi sebelum ditemukan di tepi Sungai Gombak berhampiran Jalan Ipoh di ibu negara.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian terhadap Md. Shahzada Saju, 42, selepas menolak rayuannya terhadap hukuman.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah berpuas hati, hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan ketika menjatuhan hukuman manakala tempoh pemenjaraan yang dikenakan tidak keterlaluan.

“Panel ini tidak berhasrat untuk mengurangkan hukuman dan mengusik keputusan Mahkamah Tinggi. Kami mengambil kira faktor kepentingan awam bahawa kes ini melibatkan pembunuhan ngeri seorang wanita yang mana sebagai suami, perayu sepatutnya menjaga isterinya,” ujar Hakim Vazeer Alam.

Pada 7 Ogos 2018, Md. Shahzada asalnya didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, 30, yang juga warga Bangladesh di bilik tidak bernombor, 98C Jalan Sultan Azlan Shah pada 4.05 pagi, 3 Julai 2018 dan 3.16 pagi, 5 Julai 2018.

Pada akhir kes pendakwaan, lelaki itu kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan menyebabkan kematian isterinya di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Mei 2022.

BEG PAKAIAN

Keterangan kes menunjukkan, pihak polis ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat penemuan beg pakaian mengandungi mayat manusia di tepi tembok berhampiran Sungai Gombak.

Hasil bedah siasat mendapati, mangsa mati akibat luka hirisan pada leher dan pemenggalan kepala.

Keterangan kes juga menunjukkan Mohd. Shahzada ditangkap pada 25 Julai 2018 di Kampung Bukit Buluh, Pengerang, Johor dan mengaku membersihkan darah isterinya pada lantai bilik menggunakan mop.

Pasangan suami isteri itu tinggal di bilik berkenaan. Pihak polis yang memeriksa tempat kejadian mendapati bilik itu berbau busuk seperti bau bangkai.

Terdahulu, peguam Vijey Esvaren yang hadir bersama-sama M. Meera memohon hukuman penjara dikurangkan atas alasan anak guamnya berhasrat kembali ke Bangladesh untuk menjaga ibunya yang sedang sakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fuad Abdul Aziz memohon hukuman itu dikekalkan kerana ia tidak keterlaluan.

Beliau memohon panel itu mengambil kira keterangan kes bahawa mangsa dipenggal kepalanya manakala keratan jasadnya ditemukan dalam dua bagasi berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN