Kerajaan terap 90 peratus konsep latihan ala ketenteraan PLKN 3.0

Kerajaan terap 90 peratus konsep latihan ala ketenteraan PLKN 3.0

FADILLAH Yusof semasa menyampaikan ucapan pada Sambutan Jubli Emas dan Anugerah Penanam Jaya Kebangsaan 2023 LKTN di Kota Bharu, Kelantan sebentar tadi-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan akan menerapkan 90 peratus konsep latihan ala ketenteraan pada
pogram Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal diperkenalkan semula tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pada masa sama pendekatan melibatkan tatanegara akan turut diperkenalkan dalam usaha melahirkan belia gagah, perkasa dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.

Menurutnya, PLKN 3.0 berbeza dengan pendekatan yang telah dilaksanakan menerusi program berkenaan sebelum ini.

“Selain perbelanjaan untuk melaksanakan PLKN 3.0 juga berbeza apabila ia hanya menelan belanja sebanyak RM100 juta.

“Pelaksanaan PLKN yang dahulu mencecah RM500 juta,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Jubli Emas dan Anugerah Penanam Jaya Kebangsaan 2023, LKTN di Hotel The Grand Renai di sini sebentar tadi.

Utusan Online hari ini melaporkan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, PLKN 3.0 dengan kaedah menjalani latihan di kem tentera bakal diperkenalkan.

Katanya, sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari, dengan kapasitinya mampu menampung seramai 4,000 pelatih.

“Kerajaan sudah memikirkan semula untuk meneruskan PLKN. Jemaah Menteri pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.

“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan ‘template’ baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.

“Kita mahu supaya kali ini, kita tidak berbelanja banyak tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya