KOTA BHARU: Kerajaan akan memperkasakan Program Pelaksanaan Pelesenan dan Penguatkuasaan Tembakau sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya menjelang tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan itu bertujuan mencegah pengedaran tembakau dan keluaran tembakau secara tidak sah.
“Usaha tersebut sedang dijalankan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
“Kolaborasi dan tindakan bersama agensi penguatkuasaan lain telah diadakan bagi meningkatkan keberkesanan agensi kerajaan,” katanya semasa berucap pada Sambutan Jubli Emas dan Anugerah Penanam Jaya Kebangsaan 2023 LKTN di sini sebentar tadi.
Media sebelum ini melaporkan, seluruh peniaga rokok diingatkan supaya mendapatkan lesen bagi menjual barangan tersebut sebelum pelesenan dengan fi dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun depan.
LTKN sudah melaksanakan pendaftaran lesen tanpa fi melibatkan pengedaran rokok atau produk keluaran tembakau di semua premis di seluruh negara bermula tahun lalu.
Penguatkuasaan itu selaras dengan Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) dan Seksyen 39 (1) akta sama yang memperuntukan bahawa tiada seorang boleh dan mengedarkan atau keluarkan tembakau tanpa suatu lesen yang sah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, LKTN membangunkan satu lagi varieti benih kenaf menerusi kerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia.
Katanya, usaha itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada varieti V36 yang sedang digunakan sekarang ini.
“Selain itu, LKTN menerusi kerjasama dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak dalam meluaskan lagi tanaman kenaf.
“Projek ini melibatkan keluasan 2,000 hektar di Daerah Ulu Sebuah, Bintulu (Sarawak). Pada masa LTKN akan turut menjalinkan kerjasama dengan agensi dan anak syarikat di bawah selian MFICORD untuk terokai konsep ladang kluster,” ujarnya.-UTUSAN