Kerajaan, pemaju bincang pelaburan baharu di Wet World Air Panas Resort, Pedas - Utusan Malaysia

Kerajaan, pemaju bincang pelaburan baharu di Wet World Air Panas Resort, Pedas

KEADAAN terkini taman tema air, Wet World Air Panas Resort di Pedas, Rembau yang terbiar dan tidak beroperasi sejak tahun 2020 akibat pandemik Covid-19.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan bersama Majlis Daerah Rembau (MDR) telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha Wet World Air Panas Resort di Pedas, Rembau bagi cadangan pelaburan baharu di tapak taman tema air tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon menjelaskan, cadangan berkenaan dibincangkan selepas taman tema air itu tidak lagi beroperasi sepenuhnya apabila pandemik Covid-19 melanda.

Ia sekali gus menyebabkan ia tidak dapat beroperasi semula atas faktor kekangan ekonomi.

Katanya, rentetan daripada cadangan tersebut, pihak pemaju memohon untuk lanjutan pajakan dari perjanjian asal tamat pada tahun 2058 iaitu lanjutan selama 30 tahun lagi.

“Melalui permohonan tersebut, beberapa siri rundingan dengan pihak pemaju berhubung perjanjian baharu dan sehingga kini proses rundingan masih berjalan dan perjanjian belum dapat dimeterai,” katanya.

Nicole Tan berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan (hari kedua) Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) yang bertanyakan mengapakah taman tema air itu ditutup dan apakah perancangan kerajaan negeri di kawasan itu.

Sementara itu, ketika bertanyakan soalan tambahan, Mohamad meminta supaya kerajaan negeri memuktamadkan segera perjanjian tersebut demi memastikan kawasan itu kembali menjadi salah satu produk pelancongan yang menarik kunjungan orang ramai ke negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kemudian menjelaskan, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan lanjutan tempoh pajakan selama 30 tahun di kawasan itu namun kurang dipersetujui pihak pemaju yang mahukan lanjutan tempoh selama 60 tahun.

Sehubungan itu, katanya, MDR telah meminta pihak pemaju untuk memohon semula bagi lanjutan tempoh pajakan tersebut seperti yang diminta itu supaya ada pembangunan lebih besar di situ.

Utusan Malaysia pada tahun lalu ada melaporkan permintaan penduduk setempat supaya taman tema air, Wet World Air Panas Resort di Pedas di sini yang kini terbiar dapat kembali dibuka semula sekali gus merancakkan ekonomi setempat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya