Kerajaan negeri cadang longgar syarat RKJ - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri cadang longgar syarat RKJ

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (dua dari kanan) melawat pembinaan RKJ dan menyerahkan sijil pemilikan rumah kepada penerima di daerah Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Kerajaan negeri bercadang melonggarkan syarat permohonan Rumah Kasih Johor (RKJ) pada masa akan datang bagi memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ini kerana kumpulan sasar yang terdiri daripada golongan miskin tegar tidak mempunyai tanah.

Katanya, sukar bagi mereka mendapat bantuan itu walaupun memenuhi syarat lain seperti tersenarai dalam e-Kasih dan disahkan miskin tegar, miskin atau miskin bandar oleh Pegawai Daerah dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Sekarang ini, nama mereka perlu ada dalam geran untuk mereka memohon RKJ, kita akan longgarkan syarat itu pada masa akan datang sebab kita dapati orang susah ini tidak memiliki tanah persendirian.

“Kita akan semak semula dan bagi kelonggaran sebagai contoh mungkin pemohon yang ada saudara mara, adik beradik dan jiran yang mempunyai tanah yang memberi kebenaran kepadanya untuk membina RKJ. Mungkin kita juga akan mempertimbangkan untuk mencari tanah kerajaan yang kita boleh bagi untuk buatkan rumah untuk dia,” katanya selepas melawat RKJ di Kampung Melayu Air Bemban, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

Dalam pada itu, Mohd. Jafni berkata, kerajaan negeri akan menambah peruntukan menjadi RM10 juta bagi membina lebih banyak rumah RKJ pada tahun depan.

Pada tahun ini, PKPJ sedang membina sebanyak 50 unit rumah di seluruh daerah dengan kediaman itu mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Katanya, rumah yang berharga RM100,000 itu ‘dihadiahkan’ oleh kerajaan negeri kepada penerima dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan. 

“Pada tahun depan kita akan belanjakan RM10 juta untuk membina 100 unit, sasaran kita untuk membina sebanyak 500 RKJ menjelang tahun 2026. Sebelum ni kita sasar hanya 50 unit setahun tapi program ini program yang baik, maklum balas yang diterima daripada pemimpin masyarakat juga baik, jadi kita tambah,” katanya.

Projek fasa pertama RKJ dimulakan pada September lalu dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dilantik sebagai kontraktor utama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya