SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan menambah kawasan penanaman padi di Negeri Sembilan termasuk tambahan seluas 20 hektar di Kampung Londah, Gemas, Tampin sebagai antara langkah panjang memastikan isu kekurangan bekalan beras tempatan tidak berulang pada masa akan datang.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu antara langkah jangka masa panjang yang akan diambil daripada segi pembangunan tanah sawah di negeri ini termasuk tanah-tanah sawah terbiar.
“Kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah jangka panjang daripada segi pembangunan tanah sawah yang merangkumi pembaikan infrastruktur ladang, sistem pengairan, peralatan tanah, program peningkatan hasil padi dan program transformasi teknologi termasuk penggunaan dron bagi tujuan pembajaan dan racun di sawah.
“Kita juga mahu tambah 20 hektar lagi (tanaman padi) di Kampung Londah, kawasan tanah terbiar juga, dan kita ambil langkah untuk tingkatkan kualiti benih kita. Kita akan wujudkan kawasan pembenihan padi di Negeri Sembilan supaya dapat menampung keperluan beras tempatan bagi rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pertanyaan-pertanyaan lisan, Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Terdahulu ketika bertanyakan soalan tambahan, Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) ingin mengetahu apakah perancangan strategik jangka pendek, sederhana dan panjang bagi membuka kawasan tanaman padi yang baharu di negeri ini.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang memberitahu, kawasan penanaman padi di Negeri Sembilan ketika ini adalah seluas 1,200 hektar dan negeri ini memerlukan tambahan 300 hektar lagi bagi tujuan mewujudkan sebuah kilang memproses padi dan pengeluaran beras di negeri ini.
“Keperluan untuk kita bina kilang mini dalam 1,500 hektar, ada kekurangan 300 hektar lagi, ini dalam pemerhatian untuk kita buat dari semasa ke semasa dan saya yakin perancangan ini akan diluluskan,” katanya lagi.-UTUSAN.