BENTONG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menjaga kawasan tanah rancangan Felda lebih baik daripada yang pernah dilakukan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, Felda diletak dibawah kendaliannya walaupun ada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membantu menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Dulu Felda satu kementerian, sekarang ini saya kata Menteri Pendidikan, semua sekolah bawah Felda dia jaga, begitu juga Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Kesihatan.
“Jadi, saya fikir buat sementara waktu ini saya selaraskan supaya dalam masa setahun dua ini, Felda ini kita beri perhatian yang lebih baik, yang terbaik yang pernah kita lakukan,” katanya ketika berucap pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelbagai usaha akan dan sudah dilakukan untuk menyelamatkan Felda antaranya bayaran RM8.3 bilion berhubung penyelesaian 80 peratus hutang peneroka Felda.
Mengambil contoh Pahang, Perdana Menteri berkata, sejak zaman Allahyarham Tun Razak sehingga Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tiada kawasan tanah rancangan di negeri ini yang ditutup ataupun dikurangkan jumlahnya.
“Jadi peranan kita (masyarakat Felda) pastikan kerajaan kena stabil, untuk apa? untuk kita gunakan kuasa jaga kepentingan rakyat dan kebetulan Felda ini terbesar di Pahang.
“Dengan rekod yang ada ini, saya hendak jadikan Pahang ini contoh terbaik urus kawasan Felda, dengan bantuan kerajaan Persekutuan seperti yang saya umumkan, dengan langkah kerajaan negeri Pahang (menyediakan tanah untuk masyarakat Felda), saya hendak beri jaminan percayalah kita akan terus jaga Felda,” katanya.
Cuma syaratnya beliau berkata, keadaan politik negara perlu stabil, pelaburan bertambah dan dasar kerajaan perlu jelas dan disokong sepenuhnya oleh rakyat.
“Hendak kritik boleh, hendak tegur boleh tapi jangan makin hamun dan cerca, itu saya tak boleh terima,” katanya. – UTUSAN