Kerajaan cari RM2 bilion bantu LTAT - Utusan Malaysia

Kerajaan cari RM2 bilion bantu LTAT

ANWAR Ibrahim (tengah) hadir pada Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi, Pelangai di Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan sedang mencari dana RM2 bilion sebelum hujung tahun ini untuk membantu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) agar entiti itu tidak mengalami kerugian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Kewangan baru-baru ini telah mengeluarkan peruntukkan RM300 juta untuk LTAT yang berhadapan masalah kewangan.

Katanya, keputusan itu telah menerima sokongan padu semua anggota Kabinet termasuk Menteri DAP sendiri.

“Baru-baru kita lulus Boustead, LTAT, veteran tentera, ada masalah. Saya kata keluarkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan, tolong berapa? RM300 juta minggu ini, saya bentang di Kabinet, semua sokong, PH sokong, BN sokong, GPS sokong, DAP sokong.

“Sebelum hujung tahun ini, nak cari RM2 bilion supaya LTAT jangan rugi,” katanya dalam Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menegur pengurusan LTAT supaya mengembalikan semula prestasinya sebagai entiti yang menguruskan data persaraan warga tentera dengan lebih baik demi memperkasa kebajikan golongan itu.

Antara teguran Mohamad ketika adalah, ramai yang melihat LTAT termasuk subsidiarinya Boustead Holdings Bhd sebagai syarikat yang ‘hidup segan mati tak mahu’.

Jadi, beliau memberi amaran supaya syarikat berkenaan tidak terlalu selesa sebaliknya berkembang dan terus meneroka persekitaran yang sudah berubah sekarang.

Sementara itu, Anwar meminta orang ramai tidak mudah mempercayai kenyataan sesetengah pihak yang menuduh kerajaan telah menjual hak orang Melayu kepada kaum Cina.

Beliau memberi contoh satu langkah aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada 2018 ketika di bawah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Ramai yang percaya, kadang yang cakap ustaz yang berkopiah putih. Kita semaklah mungkin ingat ini betul.

“Saya sekarang Menteri Kewangan, buka fail cari mana fail syarikat dijual kepada Cina, tiada. Yang ambil Kementerian Kewangan adalah syarikat Tabung Haji rugi teruk.

“Kalau tidak ambil, Tabung Haji bankrap, jadi diambil SPV di bawah Kementerian Kewangan. Kebetulan menteri Lim Guan Eng,” katanya.

Justeru beliau memberi arahan kepada Kementerian Kewangan serah semula syarikat yang berjaya keuntungan kepada Tabung Haji.

“Masa rugi kerajaan ambil alih, masa untung kerajaan serah balik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN